Hiburan
Ibu Arwah Ashraf Sinclair Lukis Bunga Lili Kuning Untuk BCL, Adakan Tahlil Menerusi Aplikasi Zoom
Ibu kepada Allahyarham Ashraf Sinclair, Khadijah Abdul Rahman melukis foto bunga lili berwarna kuning yang berada di pusara anak lelaki kesayangannya.
Menerusi Instagram (IG) miliknya, Khadijah atau dikenali sebagai Dida menyatakan lukisan yang diwarnakan itu dihadiahkan kepada menantunya, Bunga Citra Lestari (BCL) sebagai tanda ingatan memandangkan waktu sekarang mereka tidak dibenarkan untuk menziarahi pusara Allahyarham.
"Saya melihat bunga lili kuning ini di pusara awak. Saya lukis dan mewarnainya, untuk Bunga.
"Oleh kerana kami tidak dapat menziarahi awak kerana 'lockdown', sekurang-kurangnya saya harap lili manis ini akan selalu mengingatkan kita pada awak. Rehat dengan tenang. Amin,"tulisnya.
Dalam pada itu, Dida mendedahkan sempena 100 hari pemergian arwah Ashraf, mereka sekeluarga bersama-sama membuat tahlil di rumah menggunakan aplikasi Zoom.
"100 hari telah berlalu. Ashraf, kami merindui awak. Alhamdulillah, kami mempunyai kumpulan kecil membaca yasin dan tahlil melalui Zoom.
"Ia cantik dan merendah diri. Saya percaya awak juga bersama kami. Assalamualaikum. Al-Fatihah," tulisnya lagi.
Dida setia menemani BCL dan cucunya, Noah Sinclair yang menetap di Indonesia sejak hari pertama arwah meninggal dunia.
Terdahulu, suami BCL, Ashraf telah dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 4.00 pagi (waktu tempatan) pada 18 Februari lalu.
Allahyarham telah dikebumikan di kompleks pemakaman San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki bernama Noah berusia 10 tahun.
Must-Watch Video