Penyanyi dan pelakon, Sabhi Saddi meluahkan rasa bimbang apabila ibu dan bapanya di Kota Kinabalu Sabah, disahkan positif Covid-19.

Sabhi ketika dihubungi Gempak berkata, dia turut risau keadaan ahli keluarga lain termasuk abangnya Faizal yang mula menunjukkan gejala virus berkenaan.

“Setakat ini Sabhi diberitahu keadaan ibu dan abah masih dalam keadaan baik. Ada gejala seperti hilang deria bau, selera makan pun berkurangan.

“Abang saya pula dah mula demam dan batuk-batuk tetapi ujian calitannya pada Selasa lepas negatif, tetapi mereka sedang memantau keadaan kesihatan dia.

“Saya juga meminta adik membeli alat oximeter yang boleh memantau paras oksigen ibu bapa dari masa ke semasa,” katanya.

Tambah Sabhi lagi dia turut bimbang adiknya, Fareed yang juga anggota kumpulan K-Clique dijangkiti.

“Saya risaukan Fareed juga, dia belum jalani ujian calitan. Saya harap dia tidak dijangkiti.

“Sebelum ini mereka semua menjalani kuarantin di rumah selepas dua sepupu yang menetap bersama disahkan positif Covid-19.

“Kalau nak diikutkan tempoh kuarantin dah nak habis tetapi selepas buat ujian saringan ibu dan bapa saya positif pula,” katanya risau.

Dalam pada itu, Sabhi berkata dia turut memantau kesihatan ahli keluarganya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kami ada family group, jadi ini sahaja cara yang terbaik memantau keadaan mereka buat masa ini. Mereka di Kota Kinabalu saya pula di Kuala Lumpur.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini. Kepada anda semua doakanlah ibu, ayah dan ahli keluarga saya.

“Kepada yang mendoakan dan menghantar kata-kata semangat, terima kasih. Allah sahaja yang membalasnya,” katanya.

Malam tadi, Sabhi turut berkongsi berita tersebut pada akaun Instagram (IG)nya.