Keterujaan pengasas produk Seri Lady, Juzailah Shariff untuk membuat kejutan kepada ibunya dengan menghadiahkan sebuah rumah banglo bertukar cemas apabila ibunya hampir pitam.

Menerusi sepotong video yang tular di Twitter sejak hujung minggu lalu, wanita yang sedang dipimpin oleh Juzailah itu sebak dan tiba-tiba lemah ketika memasuki ruang utama rumah banglo terbabit.

"Mula-mula Ummi happy, tiba-tiba masuk rumah dia nak rebah lemah..

"Ummi pula ada sakit jantung, jantung pakai bateri dan darah tinggi Ya Allah bayangkan macam mana berderau ada saya!

"Alhamdulillah penat lelah selama hampir empat tahun membina empayar Seri Lady terbalas, apabila dapat membelikan rumah yang lebih selesa buat ummi dari rumah sekarang," katanya.

Usahawan itu memberitahu, biarpun rumah flat di Sentul mempunyai banyak kenangan bersama keluarganya, namun hadiah terbabit sebagai tanda terima kasih buat ibunya yang selama ini bersusah payah.

"Ummi cakap lagi, kalau tak belikan rumah baru ni untuk dia pun tak apa dia bahagia duduk dekat flat sebab ramai kawan, senang nak pergi terawih dan mengaji.

"Yelah saya faham, rumah ummi memang dekat dengan semua benda. Surau dekat pasar dekat! Lagipun rumah itu terlalu banyak memori dan kenangan.

"Cuma sekarang ummi dah berusia dan kesihatan tak seberapa.. Jadi saya dan adik beradik nak ummi ada depan mata kami dekat dengan kami dan kami boleh menjalani kehidupan bersama-sama selepas ini," ujarnya.

A post shared by Juzailah Shariff (@juzailahshariff)


Video yang tular di Twitter itu telah ditonton lebih 370,000 kali dan diulang kicau lebih 15,000.

Rata-rata netizen sebak dengan video terbabit dan berkehendakkan untuk turut sama membahagiakan orang tua masing-masing ketika mereka masih ada.

"Sedekah kepada keluarga lebih diutamakan dalam Islam. Jika ada rezeki lebih, bantu ahli keluarga dahulu nescaya rezeki kita takkan pernah putus," ciap @rafzanfazren.