HIBURAN
Idris Khan Sibuk Urus Perniagaan, Bukan Tinggalkan Dunia Lakonan - “Tawaran Masih Ada Tapi…”
Asyraf Roslan
22/04/2025
|
20:55 MYT
Pelakon, Idris Khan akhirnya buka mulut tentang kehilangannya dari radar dunia hiburan tempatan.
Jelas Idris, dia tidak pernah ‘menghilang’ seperti yang disangkakan oleh sesetengah pihak sebaliknya kini lebih memberi fokus terhadap dunia perniagaan yang sedang diusahakannya.
"Mungkin ramai yang tertanya kemana saya pergikan, mungkin ada yang ingat saya dah menghilang sebenarnya saya tak hilang pun cuma sekarang fokus saya sahaja sudah berbeza sebab saya dah fokus dalam bidang perniagaan.
"Kalau untuk lakonan, saya akan pilih naskah yang best dan berbeza berbanding apa yang saya pernah saya buat sebelum ini baru saya buat. Pada masa sama saya kena rancang betul-betul saya punya perniagaan sebab kalau saya berlakon nanti tiada siapa yang nak jaga perniagaan saya maka kena manage betul-betul.
“Untuk tawaran itu masih ada cuma saya betul-betul tunggu naskah yang baik dan macam saya kata kengkangan masa kerana fokus kepada perniagaan,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Idris juga turut menjelaskan dimana dia masih terbuka menerima tawaran berlakon.
Bagaimanapun, aktor yang popular dengan drama Cinta Fatamorgana tidak mahu kembali dengan watak yang klise kerana ingin memberi impak lebih segar kepada penonton.
“Tawaran masih ada tapi saya sedikit selektif kerana tuntutan masa itu. Saya sebenarnya masih mendapat panggilan daripada stesen TV yang mahukan saya kembali berlakon tapi macam saya cakap tuntutan masa dan naskah yang diberikan menjadi keutamaan saya sebab saya tak mahu lakukan sesuatu yang sama.
“Saya tak mahu orang lihat selepas sekian lama saya berehat tiba-tiba saya buat benda yang sama juga jadi ia tidak akan menarik minat penonton,” ujarnya.