HIBURAN
Iera Milpan Makin Lawa, Rupanya Tak Makan Nasi Untuk Kurus - “Kalau Ikutkan Tak Tahan, Tapi Sebab Nak Cantik Kenalah”
Penyanyi, Iera Milpan lebih berhati-hati dalam menjaga pemakanan selepas menerima teguran mengenai bentuk badannya yang dilihat semakin berisi.
Tak makan nasi
Menurut Iera atau nama sebenarnya Syahirah Milpan, 23, dia kini mengamalkan diet seimbang, termasuk mengurangkan pengambilan nasi dalam rutin hariannya.
“Ya, memang saya diet. Sebab ramai juga yang cakap kalau dalam gambar atau di video muzik (MV) nampak gemuk, dah macam anak berapa orang. Itu yang kita jaga pemakanan.
“Saya kurangkan pengambilan nasi. Kalau nak diikutkan, memang tak tahan sebab terpaksa elak nasi. Tapi sebab nak cantik, kenalah tahan!
“Dulu berat badan saya lebih 60 kilogram (Kg), tapi sekarang 51Kg,” katanya.
Iera berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rusa x MVM Ritma Riang Raya 2025 di Petaling Jaya, pada Selasa.
Tak layan komen negatif, body-shaming
Ditanya sama ada pernah berdepan dengan pengalaman menerima kecaman berkaitan fizikal (body-shaming), Iera mengakui dia tidak terlalu melayan komen negatif yang diterima di media sosial.
“Apa yang mampu kita buat? Diam sajalah. Ada yang hantar mesej secara peribadi di Instagram, tapi banyak di ruang komen.
“Kebanyakan ia menyentuh mengenai keadaan kulit wajah saya, banyak jerawat, ‘breakout’ dan sebagainya.
“Apa pun, mana komen yang baik kita ambil dan begitu juga sebaliknya. Kalau nak teruskan komen, biarlah.
“Malah saya juga tak sekat mereka di media sosial, cuma saya tidak akan balas mesej sedemikian.
“Tapi saya diet bukanlah kerana kecaman tersebut semata-mata. Ia didorong oleh keinginan sendiri dan demi kesihatan juga,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak Sia-Sia Perjuang Lagu ‘Leman’, Iera Milpan Teruja Retak Hatiku Ditonton 25 Juta Kali
Dalam perkembangan lain, Iera turut memaklumkan dia baru sahaja menyiapkan rakaman single terbaharunya.
Walaupun masih merahsiakan tajuk lagu, Iera mendedahkan bahawa karya itu kekal dalam genre balada dan dijangka dilancarkan dalam tahun ini juga.