HIBURAN
Ikmal Amry Kongsi Cara Kekalkan Keharmonian Rumah Tangga - “ Jangan Bagi Ada Ruang Untuk Dia Fikir Bukan-Bukan”
Pelakon, Ikmal Amry mendedahkan antara rahsia utama dalam mengekalkan kepercayaan dan keharmonian rumah tangga bersama isteri tercinta, Najla Shamsul adalah dengan bersikap terbuka sepenuhnya dalam soal kepercayaan.
Menurut Ikmal atau nama sebenarnya, Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 31, dia memahami jika isterinya mengalami rasa cemburu kerana perasaan itu merupakan perkara normal lebih-lebih lagi apabila berkahwin dengan seorang selebriti.
“Dia kahwin dengan pelakon, jadi perasaan was-was dan cemburu tu memang ada.
“Tapi cara saya senang je bagi je apa dia nak. Kalau dia nak tengok WhatsApp, e-mel atau media sosial saya, saya bagi. Tak ada benda nak sorok,” katanya kepada Gempak.
Ikmal berkata demikian ketika menghadiri majlis tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah aktor yang terkenal dengan drama From Saga With Love itu turut mengakui dia tidak pernah menghalang isteri untuk memeriksa telefon termasuk semua akaun media sosialnya.
“Saya izinkan isteri periksa media sosial saya. Sebab sebagai pelakon, kita berinteraksi dengan ramai orang, jadi biar dia tahu realiti sebenar.
“Memang ada orang yang hantar mesej ‘kacau-kacau’, tapi biar dia tahu yang saya ni tak melayan,” jelasnya.
Bagaimanapun, dia juga sentiasa bersikap keterbukaan dalam soal kepercayaan kerana dia tidak mahu isterinya mula berfikir perkara yang negatif tentang dirinya.
“Jangan bagi dia ruang untuk fikir bukan-bukan tentang kita. Bila tak ada benda yang kita sorok, isteri akan percaya kita,” kongsinya.
Untuk rekod, Ikmal dan Najla yang juga seorang pempengaruh media sosial telah mendirikan rumah tangga pada 2020 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata.