Kerap Buat Kejutan, Beli Bunga Untuk Isteri, Kunci Kebahagiaan Perkahwinan Ikmal Amry - “Lelaki Kena Rendahkan Ego”
Pelakon Ikmal Amry mendedahkan saling percaya terhadap pasangan merupakan kunci kebahagiaannya sepanjang 8 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Menurut Ikmal atau nama lengkapnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 30, dia juga sanggup merendahkan ego dan bersedia membuat permohonan maaf terlebih dahulu ketika bergaduh bersama pasangan.
“Kunci saya adalah kepercayaan sesama kita antara pasangan dan kalau gaduh jangan lama-lama paling lama sehari kena minta maaf.
“Lelaki kena rendahkan ego kena pandai pujuk untuk kekalkan hubungan,” katanya ketika ditemui Gempak.
Sering buat kejutan
Bukan itu sahaja, Ikmal juga sering membuat kejutan dan memberi hadiah buat isteri bagi memastikan hubungan sentiasa ‘hangat’ seperti zaman bercinta.
“Apa yang buat saya bertahan selama 8 tahun ini adalah saya selalu cari cara untuk bercinta kembali setiap hari saya rancang apa nak buat untuk kami explore sama-sama.
“Kena ada effort untuk mencari apa yang partner kita suka, kalau apa yang dia suka kita perbanyakkan contoh macam hadiah, dia suka bunga jadi saya akan selalu bagi benda itu waktu sambut apa-apa hari istimewa.
“Banyakkan buat kejutan kalau tiada nak sambut apa-apa pun sekurangnya buat kejutan seminggu sekali, bawa pergi jalan-jalan,” katanya lagi.
Sekadar info, Ikmal mendirikan rumah tangga bersama Najla Shamsul pada 19 Disember 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaiti Cailie.