Pertunjukan magik berskala penuh daripada The Sacred Riana, buat julung kalinya di Malaysia akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 Julai 2023.

Riana yang merupakan seorang pakar ilusi paling terkenal di dunia akan mempersembahkan satu pertunjukkan yang bukan sahaja seram tetapi penuh dengan misteri.

Riana atau nama sebenarnya Marie Antoinette Riana Graharani yang berasal dari Indonesia, telah meraih populariti di persada dunia setelah menjadi juara musim kedua “Asia's Got Talent”pada tahun 2017 dan “British Got Talent” pada tahun 2019. Riana juga merupakan salah seorang finalis di "America's Got Talent: The Champion".

Dengan keperibadian misteri, Riana bukan sahaja telah memenangi jutaan hati peminat dari seluruh dunia bahkan telah mendapat pengikhtirafan dalam senarai berprestij Forbes 30 Under 30 Asia.

Penganjur persembahan “The Sacred Riana Conjuring Live in Kuala Lumpur”, Mediaberg Productions menyifatkan ini peluang emas kepada para penonton untuk menyaksikan aksi-aksi ilusi yang menakjubkan, di samping trik-trik yang luar biasa di atas pentas dengan jarak yang terdekat.

"Pertunjukkan ini merupakan satu sajian yang cukup baik khususnya bagi mereka yang mengemari genre seram dan elemen mistik daripada The Sacred Riana yang telah berjaya mencipta fenomena dan mengegarkan pentas pencarian bakat antarabangsa.

"Keterampilan The Sacred Riana dengan rambut panjang mengurai yang menutupi sebahagian mata kirinya berserta dengan patungnya sahaja cukup menyeramkan. Selain itu, kemampuan supernatural atau mistik Riana sudah tentunya akan membuat penonton terhibur," kata wakilnya.

Persembahan ini dibuka kepada penonton dewasa dan kanak-kanak yang berusia 7 tahun ke atas. Namun kanak-kanak khususnya yang berusia 7 tahun keatas mesti diiringi oleh orang dewasa.

Pihak Mediaberg Productions juga telah mengambil semua keperluan keselamatan tanpa berkompromi.



Tiket untuk The Sacred Riana Conjuring Live in Kuala Lumpur dibuka untuk pembelian sekarang di www.ticket2u.com.my/tsr.