Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham menafikan isu yang tular mengenai pemberian vaksin kepada 'influencer' berdasarkan laporan sebuah portal media baru-baru ini.

Jelas beliau, perkara terbabit tidak benar dan berita yang diterbitkan adalah palsu.

"Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak Hospital bercadang untuk memberi vaksin COVID-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan (frontliners) yang lain.

"KKM ingin menegaskan bahawa pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

"Isu ‘memotong barisan’ (cutting queue) bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan ianya akan disiasat untuk tindakan," kata beliau memetik ciapan di Twitter pada Khamis.

Beliau turut menasihati media agar melaporkan perkara yang telah disahkan benar dan memohon orang ramai menyemak dahulu maklumat sebelum mempercayai sebarang berita.

Tular di media sosial apabila ada laporan mengenai pengurusan sebuah hospital yang berhasrat memberikan vaksin COVID-19 kepada 'influencer' terlebih dahulu.

Difahamkan, pihak hospital terbabit merancang untuk memberikan vaksin COVID-19 kepada pihak pengurusan kanan hospital dan individu yang dirujuk sebagai 'influencer' terlebih dahulu hari ini.

Menteri Penyelaras Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin turut menafikan berita terbabit.

"Ini tidak tepat. Saya sudah bercakap dengan DG Hisham, jangan sebarkan perkara yang tidak sahih.

"Masa sekarang bekalan tidak cukup. Hanya untuk frontliners. Itu pun CITF terima banyak rayuan untuk kumpulan-kumpulan tertentu dijadikan frontliners," tegasnya.