Hiburan

Ingin Tonjolkan Isu Muslimah, Eja Shahril Bawa Tudung Saji Ke Pentas Fesyen Indonesia

gempak
Zulaikha Yusof
25/10/2019
04:03 MYT
Sponsor Banner
Ingin Tonjolkan Isu Muslimah, Eja Shahril Bawa Tudung Saji Ke Pentas Fesyen Indonesia
Label fesyen muslimah tempatan yang mengukir nama di persada antarabangsa, Eja Shahril pernah tular dan mencuri perhatian orang ramai tatkala tampil dengan busana ala 'tudung saji' di Asian Islamic Fashion Week 2017 di Kuala Lumpur.
Ketika itu, netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap apa yang cuba ditonjolkan oleh Eja Shahril, pastinya wujud kecaman serta ada yang memuji usaha mereka.
Menggunakan formula yang sama, jenama fesyen berkenaan menampilkan gimik serupa ketika mempersembahkan koleksi busana terbaru mereka di Indonesia Modest Fashion Weeks 2019 yang berlangsung baru-baru ini.
Mewakili jenama terbabit, Shah Rizul Irza Zulkiply atau lebih dikenali dengan nama Eja menjelaskan tentang penggunaan semula gimik tudung saji yang pernah dipentaskan mereka dua tahun lalu.
Jelas Eja, dia takut untuk menanggung kecaman namun tetap meneruskannya kerana ingin semua pihak faham dengan mesej yang cuba disampaikan.
"Pada mulanya, saya takut untuk membawa konsep ini kerana khuatir akan dikecam sekali lagi.
"Namun, apa yang dirancang diteruskan di pentas peragaan fesyen. Alhamdulillah, kebanyakan komen positif yang saya terima.
"Ramai penonton faham dengan jalan cerita yang saya cuba sampaikan. Jadi, kalau yang lain tidak mengikuti dari awal 'runway' ini memang mereka tak akan faham.
"Saya ada sebab tersendiri kenapa memilih menggunakan tudung saji. Ia semua berkait rapat, bukan saja-saja saya bawa tudung saji ini untuk dipakai.
"Saya sebenarnya ingin menunjukkan kepada semua pihak bahawasanya berjilbab ini tidak wajib kerana yang wajib adalah menutup aurat," katanya kepada Gempak.
Eja ditemui usai pertunjukan Indonesia Modest Fashion Weeks 2019 yang diadakan di Jakarta Convention Center baru-baru ini.
Tambah anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, dia akui pemilihan gimik itu dibuat semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat luar.
"Saya memang sengaja menggunakan semula gimik tudung saji kerana ingin menarik perhatian masyarakat daripada negara luar selain Malaysia.
"Saya cuba tonjolkan supaya ramai tahu tentang isu muslimah kerana jika tidak dilakukan mereka tidak akan 'buka mata'," katanya lagi.
Eja bersama suaminya, Muhamad Shahril Ismail membuka butik sendiri yang diberi nama Eja Shahril di Bertam Perdana, Pulau Pinang.
Seramai 20 kru tempatan terbabit pada sesi peragaan di Jakarta, Indonesia.
17 pasang persalinan digayakan di samping menampilkan pengacara dan pelakon Uyaina Arsyad sebagai wajah utama pada kali ini.
Bagi menjayakan pertunjukan fesyen ini, jenama Eja Shahril berkolaborasi bersama Airissh dan ditaja khas oleh Perfectus Cosmetics, Malika dan Tra Holidays Sdn Bhd.
Sekadar info, pada September 2017, jenama ini pernah melakarkan sejarah manis apabila mempersembahkan koleksi busana mereka di Couture New York Fashion Week di New York, Amerika Syarikat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live