Ketika ramai rakyat Malaysia bersusah payah memastikan mereka kekal duduk rumah, masih ada mengambil kesempatan untuk berkeliaran tanpa hala tuju.

Malah, ramai ada di antara mereka memberi alasan keluar bersiar-siar tanpa tujuan.

Tindakan tersebut walaubagaimanapun mengundang padah apabila sebanyak 29 kompuan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan dalam operasi pematuhan PKP pada tengah malam tadi.

Menurutnya,sebanyak 29 kompaun ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan terhadap penduduk di kawasan Felda di sini.

"Selain kompaun itu, sebanyak 14 motosikal disita dengan sejumlah 62 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

"Tiga tangkapan juga dilakukan membabitkan kesalahan jenayah kerana memiliki senjata berjadual iaitu kerambit dan buku lima serta tangkapan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki permit atau pasport yang sah.

"Dua suspek memiliki senjata itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi PKP jika enggan dikenakan tindakan.

"Tempoh untuk memberi nasihat sudah tamat dan tiba masa untuk tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang didapati dengan sengaja melanggar arahan serta peraturan PKP," katanya.