Minggu lalu, kerajaan telah memberi peringatan kepada semua bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak akan kekal terus sebagai PKPB, tetapi boleh kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada fasa satu, dua dan tiga.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika berlaku banyak ketidakpatuhan, bukan perkara mustahil sekiranya kerajaan perkenalkan semula PKP asal iaitu fasa satu hingga tiga dan membataskan kembali pergerakan kita.

BACA: "Jika Gagal Patuhi PKPB, PKP Mungkin Diperkenalkan Semula" - Datuk Seri Ismail Sabri Beri Peringatan Supaya Patuhi SOP!

Namun, persoalannya adakah orang ramai patuhi dengan arahan dan SOP PKPB ini?

Gempak senaraikan lima situasi yang mana PKPB telah diambil mudah oleh sesetengah pihak.

1. Lumba Kereta Ketika PKPB

Gara-gara cuba menguji tahap kelajuan kereta yang baru diubah suai enjin, empat lelaki ditahan kerana mempamer aksi berlumba di Lebuhraya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (AKLEH), Khamis lalu.

Keempat-keempat mereka ditahan bersama dua kenderaan, masing-masing jenis Proton Satria dan Proton Putra dalam operasi khas diketuai kira-kira jam 11 malam.

2. Merempit Waktu PKPB

Lima lelaki disyaki terbabit dalam lumba haram di sekitar Lebuhraya Grand Saga, Kajang, diberkas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) 9 Mei lalu.

Menurut polisi tiga daripada lima yang ditahan ini turut melakukan aksi berbahaya seperti menundukkan badan serta melakukan zig-zag bermula dari Kilometer (KM) 16, menghala ke Kajang sehingga KM 17.

3 Melepak Di Malam Hari

Situasi ini dilihat berlaku di Terengganu apabila segelintir masyarakat kembali memenuhi kawasan rekreasi Taman Awam Pantai Batu Buruk.

Difahamkan, ia berlaku sehari selepas pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu meletakkan hadangan (barrier) di kawasan tersebut.


4. Siap Adakan Parti Di Pejabat

Semalam, 14 individu yang berhibur sambil menikmati minuman keras di sebuah pejabat dekat Taman Industri Sungai Lokan di Butterworth Pulau Pinang membawa padah apabila mereka ditahan polis.

Kesemua mereka didapati mengingkari PKPB apabila sanggup menggunakan sebuah bilik di dalam pejabat untuk berhibur seolah-olah berada di pusat

5. Pusat Hiburan Pun Dah Buka?


Semalam juga, sebuah pusat hiburan dekat Green Height, Kuching Sarawak diserbu polis selepas dikesan ingkar larangan beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam serbuan jam 9 malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sarawak menahan 31 orang termasuk 10 wanita warga asing.

Untuk makluman, pusat hiburan adalah dilarang beroperasi sepanjang tempoh PKPB atas arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Persoalannya, adakah pelaksanaan PKPB menjadi tiket buat masyarakat bebas melakukan apa saja? Adakah Malaysia sudah bebas daripada pendemik COVID-19?

Bagi yang tidak pasti, di bawah Akta 342, kesalahan melangar SOP dan peraturan di bawah akta ini, hukumannya adalah kompuan RM1,000 dan jika dibawa ke mahkahah, hukuman RM1,00 maksimum atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Astro Awani ,Berita Harian, Mstar, TeganuKita