Penari terkenal, Alam Wakaka terharu menerima kejutan berita kehamilan dari isterinya, Nurul Alisya Najwa Hazman sempena hari jadinya yang ke-35.

Alam berkata ia merupakan hadiah paling terindah yang diterimanya sepanjang hari lahirnya.

“Hadiah terindah 35 tahun. Alhamdulillah terima kasih ya Allah.

“Terima kasih isteriku. Terima kasih semua yang lakukan kejutan yang sangat indah..

“Terima kasih ahli keluarga ku. terima kasih sabahatku semua,” katanya.

Alam berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut dia memuat naik fotonya bersama isteri dan kejutan kit ujian kehamilan yang menunjukkan positif serta baju bayi.

Sementara itu, menerusi perkongsian satu video TikTok merakamkan saat dia membuka kotak hadiah yang diberikan oleh isterinya mengandungi kit ujian kehamilan tersebut.

Dalam video tersebut, Alam seperti berhati-hati membuka kotak tersebut kerana bimbang dikenakan atau ‘prank’ dari isteri dan ahli keluarganya.

Namun selepas menjumpai kit ujian kehamilan tersebut dia terus terharu memeluk isterinya dan menangis kegembiraan.

Pun begitu, Alam sempat bergurau dengan bertanyakan, “Ini bukan swab test (kit ujian Covid-19) kan?”

Entri tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang rata-rata mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 7 Mac lalu.

Alam atau nama sebenarnya, Haslam Abdul Rahman pernah menjuarai program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama pada 2009. Alam juga pernah membintangi filem Sayang You Can Dance dan drama realiti, Alam's Story tujuh tahun lalu.