"Ini Satu-Satunya Surprise Yang Menjadi Awak Buat,"- Luahan Farah Ahmad Sempena Birthday Kepada Pitt Hanif

Kamaruddin Razal
November 17, 2019 01:58 MYT
Pelakon Farah Ahmad yang juga balu kepada pengarah filem, Allahyarham Pitt Hanif berkongsi coretan sedih di Instagram semalam yang membuatkan pengikutnya turut berasa sebak.
Lebih memilukan apabila luahan itu ditulis bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-42 tahun.
"Allahu..hadiah paling besar Farah dapat. Farah gembira ya amat. Apa lagi seorang isteri mahu bila diberi suami syahid yang tenang kacak menghadap Illahi.
"Aku senyum sambil cakap, awak memang selalu WIN, di saat akhir awak pun WIN, Hebat!
"Awak hari ni ulang tahun kelahiran Farah. Farah berharap awak dapat bersama Farah...heheh berangan kan," tulisnya.
Coretan Farah itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Disebalik kesedihannya itu, ramai yang mendoakan agar Farah terus kuat untuk meneruskan hidup dan redha dengan pemergian suaminya itu.
Pitt atau nama sebenarnya Mohd. Firdaus Mohamad Hanif, 43, dilaporkan lemas ketika keluar memancing pada 26 Oktober lalu di Sungai Jelai, Kuala Lipis, Pahang.
Mayatnya kemudian ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) keesokan harinya sebelum berita itu diumumkan oleh ibunya yang juga pelakon Fauziah Nawi.
BACA: “Jenazah Telah Ditemui Dalam Keadaan Yang Elok” – Pitt Hanif Telah Ditemui
Hasil perkongsian hidup dengan Pitt, Farah dikurniakan tiga cahaya mata berusia tujuh hingga 16 tahun.
#pelakon #Pelakon #Farah Ahmad #Pitt Hanif