Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

INNOVATHON Kembali Untuk Musim Kedua, Uji Bakat Bermula Jun Depan! Ini Cara-Cara & Lokasinya

Mya Amri
20/05/2024 09:55 MYT

Program realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi iaitu INNOVATHON kembali lagi untuk musim kedua.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, musim kedua INNOVATHON akan memberikan fokus kepada penghasilan tenaga kerja dan bakat masa depan seiring dengan kemajuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kita sebenarnya memerlukan lebih ramai bakat profesional di dalam bidang stem dan R&D. Pada masa yang juga sama kita tahu bahawa kita berhadapan dengan cabaran global iaitu golongan muda kurang berminat dengan STEM, Sains, R&D dan sebagainya.

"Jadi sebab itu kita berharap INNOVATHON akan jadi satu lagi kaedah yang kita boleh digunakan terutamanya untuk menarik minat pelajar dari peringkat sekolah lagi sehinggalah ke universiti supaya mereka mempunyai keterbukaan kepada pelbagai tawaran kerjaya dan hidup yang lebih baik di masa hadapan,” jelasnya.

Rafizi berkata demikian ketika sidang media Soft Launching INNOVATHON musim kedua baru-baru ini.

Istimewanya kali ini, program inisiatif oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama dengan Astro ini turut membabitkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sebagai usaha mempopularkan sains dan teknologi dalam kalangan pelajar, bermula di peringkat sekolah.

Terdahulu, musim pertama INNOVATHON menyaksikan inovasi peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser yang dinamakan NACOTS  dinobatkan sebagai juara.


Sesi uji bakat seluruh negara bermula Jun depan

Sesi uji bakat di seluruh negara akan bermula Jun depan dan akan turut singgah di beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Musim kedua dijangka mula bersiaran di Astro RIA, November depan.

 

Cara-cara sertai uji bakat INNOVATHON musim kedua: 

 

1. Secara Online di gempak.com.my dari 1 Jun hingga 21 Jun 2024

2. Secara On Ground di Institusi Pengajian Tinggi bermula 1 Jun 2024

 

Lokasi Ujibakat On Ground:

1 - 2 Jun : Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang & Universiti Malaysia Terengganu

8 & 9 Jun : UMS Kota Kinabalu, Sabah & UNIMAS Kampus Sibu, Sarawak

22, 23 & 24 Jun : Universiti Malaya

#Rafizi Ramli #MOSTI #Innovathon #Menteri Ekonomi #INNOVATHON 2