Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden bom landasan kereta api di Sadao, Thailand petang semalam.

Exco Kemudahan dan Prasarana, Pengangkutan, Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Perlis, Izizam Ibrahim berkata daripada maklumat yang beliau terima, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kematian atau kecederaan.

"Saya juga difahamkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden yang melibatkan kereta api kontena yang membawa komoditi getah," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata letupan bom tersebut tidak melibatkan kereta api penumpang.

Media sebelum ini melaporkan Perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, tergendala selepas satu bahagian landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek di Sadao, Thailand.

Sebelas gerabak kereta api kargo tergelincir selepas landasannya dibom dalam kejadian antara stesen Hat Yai dan Padang Besar di daerah Sadao di Songkhla pada Sabtu.

Penguat kuasa undang-undang dan pihak berkuasa kereta api Thailand yang membuat siasatan menemui kesan letupan bom dan sedang menyiasat pihak bertanggungjawab.

Sumber: Bernama