Kumpulan Insomniacks kini tampil dengan single terbaru mereka yang berjudul Kepala Batu.

Single tersebut dicipta oleh Taja dan ditulis oleh ahli kumpulan mereka sendiri iaitu, Iqie.

Jika didengar secara terperinci, lagu ini bukan sahaja mempunyai susunan muzik yang sedap didengar, malah bait liriknya juga disampaikan dengan penuh
rasa berani.

Konsep lagu tersebut dicipta bersesuaian dengan jiwa muda empat anggota kumpulan insomniacks iaitu Iqie, Wan Iskandar, Danial dan Gavin.

Menurut Iqie, mesej kedegilan yang disampaikan dalam lagu itu mempunyai mesej dan tujuan positif.

“Dalam konteks lagu ini, kepala batu itu bermaksud degil, liriknya banyak menceritakan tentang apa yang kami rasakan sepanjang berada dalam industri muzik ini.

"Meskipun kerap mengutarakan idea sendiri namun idea itu sering ditolak, justeru dalam lagu ini, kami ingin menyampaikan bahawa tidak salah menjadi degil jika mempunyai tujuan yang betul.

"Kita harus memperjuangkan perkara yang kita percaya dan sangat cintakan dalam hidup, kalau orang lain tak faham, jangan pedulikan mereka, yang paling utama adalah rasa percaya pada diri-sendiri," katanya.

Kepala Batu tidak banyak beza daripada karya Insomniacks terdahulu yang mengetengahkan elemen pop rock seiring dengan usia remaja anngota kumpulan mereka.

Single ini boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.