Kumpulan nasyid Inteam berkongsi pengalaman ketika mengadakan persembahan di Toronto, Kanada baru-baru ini.

Mendapat sambutan hangat, hampir 10,000 penonton hadir ke program Konvensyen Reviving Islamic Spirit yang diadakan setiap tahun itu.

"Alhamdulillah, ini merupakan kali kedua kami diundang mengadakan persembahan di program berprestij ini selepas kali pertama dijemput ke sana pada tahun lepas.

"Nampaknya penganjur dan penonton menyukai persembahan kami dan mereka telah menjemput lagi kami pada tahun ini, bagi mengadakan persembahan dalam program tahunan ini," ujar Syah selaku ketua kumpulan nasyid Inteam.

Program Reviving Islamic Spirit ini telah diadakan setiap tahun sejak 17 tahun yang lalu menghimpunkan para ulama dan pendakwah Islam terkenal dan berpengaruh dari serata dunia khususnya dari sebelah Amerika dan Eropah.

"Tahun ini kami tetap mengekalkan konsep berpakaian busana Melayu di dalam persembahan kami seperti tahun lalu, cuma kali ini kami memakai set lengkap busana Melayu yang lebih cantik dan sempurna kerana mendapat tajaan dari butik Zarif Tuah Couture.

"Alhamdulillah, kami berbangga dapat bergaya menampilkan pakaian kebudayaan kita di pentas antarabangsa ini dan penonton di sana juga sangat menyukainya dan mereka ingin bergambar bersama kami," terang Hazamin mewakili anggota kumpulan Inteam yang lain.

Tambah Rahim pula, kali ini Inteam telah diminta mengadakan persembahan di empat tempat berbeza.

"Kami mengadakan persembahan di Pentas Utama konvensyen, di pentas 360 iaitu pentas bazar dan juga di dalam program bersama kanak-kanak serta di dalam program Knowledge Retreat yang diadakan oleh penganjur konvensyen.

"Antara seleksi lagu yang kami nyanyikan, kebanyakannya adalah nasyid dan Qasidah berbahasa Arab seperti Ya Hanana, Solatun, Selawat Badar, Sifatullah, Qad Kafani, Qamarun dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, perjalanan kami ke Kanada kali ini telah mendapat sokongan dan tajaan ramai pihak antaranya ialah MBI Selangor, Akademi Qasidah Aswaja Wilayah Persekutuan, Kembara Meals, GoSambal, Travel Reccommend, Zarif Tuah Couture dan Inteam Apparel. Terima kasih kami ucapkan kepada semua penaja yang sudi memberi sokongan," kata Rahim.

Program ini berjaya mengumpulkan hampir 10,000 pengunjung dari kalangan warga Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah yang majoritinya beragama Islam dan sebahagian yang bukan Islam.

Program ini telah diadakan di Metro Toronto Convention Centre di pusat bandar Toronto.