Islam agama yang syumul, pilihan terbaik sbeagai pegangan umat manusia tidak kira apapun bangsa. Itulah yang diterapkan oleh Pertubuhan Akademi Al Bayan yang mendahului trend mengadakan rumah terbuka bertemakan Raya Dalam Budaya.

Uniknya tentang majlis sambutan ini, tetamu yang hadir memperagakan persalinan tradisi dari suku kaum dan etnik masing-masing.

Kata Pengerusinya, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan, Raya Dalam Budaya meraikan Hari Raya Aidilfitri yang tidak eksklusif untuk satu kaum sahaja.

"Al Bayan mengangkat konsep Raya Dalam Budaya pada penganjuran rumah terbuka kali ini kerana kita mahu menyatakan kepada masyarakat diluar sana mengenai kesepaduan antara semua kaum itu dapat disatukan dengan kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Walaupun kita berbilang bangsa dan budaya tetapi dengan kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar maka kita tidak menjadi masalah dengan itu.

"Ada pun sahabat-sahabat kita yang berlainan agama maka Islam mengajarkan kepada kita untuk memberikan kepada semua mereka hak yang telah ditetapkan dalam Islam seperti keamanan, kebebasan dalam beragama dan macam-macam lagi," katanya.



Seramai 200 orang saudara baru Islam meliputi bangsa India, Cina, Kadazan, Dayak dan warga Antarabangsa, hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Masjid Bandar Baru Enstek itu.


Peluk Islam tak semestinya tinggalkan budaya asal

Sementara itu, ulas Muhammad Mikhael Sathayah yang pernah tular kerana hubungan eratnya dengan ibu percaya acara sedemikian mampu membuka mata masyarakat tentang makna sebenar Islam itu.

"Sebelum ini ada yang bertanya kepada saya adakah saya seorang muslim atau India. Jawapan saya senang sahaja, saya berbangsa India dan beragama Islam.

"Malah di negara India sendiri terdapat begitu ramai orang Islam yang sangat cintakan negara itu sendiri. Tidak semestinya apabila kita memeluk Islam, kita perlu tinggalkan budaya asal," katanya yang baru memeluk Islam beberapa tahun lalu.

Mesej Islam bukan untuk Melayu sahaja

Manakala, kata Setiausaha Persatuan Dayak Muslim Selangor, Nur Aisyah Syuhada Abdullah, kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak mempunyai banyak budaya dan adat yang perlu diteruskan oleh generasi sekarang.

"Amat merugikan jika budaya ini ditinggalkan terus atau dilupa jika sudah memeluk Islam. Selagi amalan itu tidak melanggar syariat, ia patut diamalkan dan ia juga memberi imej positif kepada Islam sendiri.

"Jika kita berpakaian tradisional etnik dan masih pulang ke kampung ketika ada majlis keramaian atau apa-apa perayaan, keluarga yang belum masuk Islam juga akan suka dan menyokong kita. Ia satu dorongan buat mualaf seperti kami.

"Konsep rumah terbuka ini sangat unik kerana rata-ratanya dihadiri mualaf yang berpakaian etnik masing-masing. Saya harap ia dapat diamalkan di tempat lain pada masa akan datang bagi memberi mesej bahawa Islam itu bukan untuk Melayu sahaja," katanya.

Santuni mualaf

Pada majlis Al Bayan, Al Bayan Global Sdn Bhd dan HD Group Sdn Bhd turut memperuntukkan sejumlah RM14,000 duit raya untuk diberikan saudara mualaf dan asnaf.

Ini semua hasil orang ramai yang menyalurkan zakat kepada Al Bayan dan kami hanya bertindak sebagai perantara yang menjalankan amanah agar sumbangan ini sampai kepada golongan sasar.

“Terdahulu Al Bayan merencana pelbagai program, dengan melakukan kerja-kerja dakwah di lapangan khususnya membantu mualaf yang susah berkat sumbangan orang ramai.

"Mewujudkan saudagar mualaf Al Bayan bagi meningkatkan ekonomi mereka sekali gus dapat keluar dari kepompong kemiskinan, seterusnya dapat membantu mualaf yang lain.

"Menyempurnakan keislaman mereka dengan melakukan khatan secara jemaah membabitkan peserta kanak-kanak dan dewasa.

"Selain itu mengangkat martabat mualaf di peringkat nasional dengan mengetengahkan pelbagai rancangan televisyen seperti tangisan mualaf dan yang terbaru selera rasa mualaf," ujarnya.

https://www.instagram.com/p/CsTd5bIpoIb/
Tidak hanya penglibatan di lapangan, demi memastikan kebajikan mualaf terjaga, Pertubuhan Akademi Al Bayan yang sudah beroperasi lebih dua tahun juga dalam fasa membina Kompleks Pendidikan Islam Akademi Al Bayan yang berpengkalan di Pegoh, Melaka.

Enggan bersandar kepada infaq orang ramai semata-mata, Al Bayan turut mengambil inisiatif mengeluarkan produk makanan sendiri iaitu Sambal Bilis TERIaak yang berpontensi sebagai janaan ekosistem Al Bayan.

Terdapat 50 usahawan mualaf di bawah bim­bingan program tersebut dan jumlah itu bakal bertambah kepada 250 orang menjelang akhir tahun ini.