Hiburan
Isteri Hamil, Shahrul Shiro Tiba-Tiba Sukakan Durian
Selera pelawak Shahrul Shiro berubah apabila tiba-tiba sangat menggemari durian, sedangkan sebelum ini dia tidak pernah menyukai raja buah-buahan tempatan tersebut.
Bekas penyampai radio Era itu berkata, dia turut berasa pelik apabila keinginannya untuk memakan durian datang secara tiba-tiba.
“Saya pun tak tahu kenapa tiba-tiba rasa nak makan durian tu datang, sedangkan sebelum ini saya tidak suka langsung.
“Saya sanggup pergi makan durian seorang di gerai durian popular di Subang selepas Tauke tidak mahu menemani saya.
“Bila Tauke tak mahu teman, perasaan saya ketika itu kecewa dan sedikit marah dan ambil keputusan untuk pergi seorang diri dan di sana, saya makan dengan banyak sekali,” katanya ketawa.
Tambah Shahrul, emosinya juga kurang stabil sehinggalah isteri, Nor Farhanah Syamimi memberitahu tentang kehamilannya.
“Lepas isteri bagitahu, barulah saya sedar yang saya terkena simptom wanita hamil,” ujarnya yang bakal menyambut kelahiran bayinya bersama Farhanah tiga bulan lagi.
Sementara itu, Farhanah juga telah berkongsi berita kehamilannya di laman sosial Instagramnya.
“Alhamdulillah syukur atas rezeki yang Allah berikan. Terima kasih pada suami kerana menjadi seorang suami yang bertanggungjawab. Bertambahlah kekuatan seorang wanita dengan adanya rezeki cahaya mata dan amanah dari ALLAH S.W.T”
“Semoga segalanya dipermudahkan. Doakan yang baik-baik. Ameen,” luah isteri Shahrol di Instagram.
Berita gembira tersebut turut dihujani dengan ucapan tahniah dan doa agar dipermudahkan segala urusan oleh pengikutnya di laman sosial tersebut.
Sebelum ini, Shahrol telah pun bercerai bekas isterinya dan dikurniakan anak lelaki Muhd Adam Danish
.
Must-Watch Video