HIBURAN
Isteri Kedua Pelakon Popular 1990-an Digantung Tak Bertali, Dedah Perangai Suami Kaki Pukul - "Dia Ada Pinjam Ah Long"
Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Puan A, mendakwa dirinya seolah-olah digantung tidak bertali selepas berkahwin dengan pelakon drama popular era 1990-an.
Menurutnya, dia tidak berniat untuk kembali kepada lelaki tersebut, sebaliknya hanya menuntut semula wang lebih RM50,000 yang pernah dipinjamkan.
"Jumlah lain yang telah dibelanjakan, saya tidak kisah, termasuk perbelanjaan anak-anaknya dengan isteri pertama. Dia mempunyai tiga anak, manakala saya pula empat," katanya.
Puan A, yang berusia awal 40-an, mendakwa mempunyai bukti video suaminya yang berjanji akan membayar semula wang berkenaan.
Sepanjang perkahwinan mereka, dia mendakwa lelaki itu sering menimbulkan masalah, termasuk berhutang dengan 'Ah Long' sehingga dia terpaksa menggadai barang kemas untuk membantu.
Selain itu, dia juga pernah membuat laporan polis berhubung kekasaran yang dialaminya.
"Saya sudah terjumpa banyak bukti kenakalannya dalam telefon dan baru-baru ini, saya ke balai polis untuk membuka semula kes rumah tangga kami. Dia sangat pandai memanipulasi keadaan, hingga seolah-olah saya yang dipersalahkan dalam segala hal," katanya.
Tekanan hidup bersama pelakon itu menyebabkan Puan A terpaksa bergantung kepada ubat penenang.
Dia juga mendakwa suaminya sengaja membuli dan tidak serius menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
"Setiap mesej saya di WhatsApp hanya dibaca dan diabaikan. Dia juga pernah memukul saya dan saya masih menyimpan video kejadian tersebut. Saya rasa sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Puan A meminta suaminya menjelaskan status sebenar perkahwinan mereka.
Mereka berkenalan pada 2018 ketika bekerja di syarikat yang sama dan walaupun mengetahui lelaki itu sudah berkahwin, pujukan yang diberikan akhirnya membuatkan dia bersetuju untuk menjadi isteri kedua dalam perkahwinan yang dirahsiakan daripada isteri pertama.
"Kami bernikah secara atas talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021. Semua urusan perkahwinan diuruskan olehnya kerana dia berada di Kuala Lumpur, sementara saya di tempat lain.
"Namun, sepanjang perkahwinan, kami tidak pernah memiliki sebarang dokumen rasmi. Dia berjanji akan menguruskannya, tetapi sehingga kini, semuanya masih tergantung," katanya.
Sumber: Harian Metro