Sejak tularnya isu mengenai penyanyi Kaka Azraff yang dimalukan di sebuah akaun Instagram oleh penyokong zionis, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya peminat muzik tempatan sama-sama berganding bahu dalam memberikan sokongan terhadap penyanyi bersuara serak basah itu.

Lebih-lebih lagi apabila pemilik akaun Instagram itu serta pengikutnya mendesak syarikat rakaman Warner Music Malaysia untuk menggugurkan Kaka daripada bergelar artis di bawah naungan label berkenaan.



Rentetan daripada isu tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas XENO Entertainment, Prashan Chitty berkongsi satu hantaran di platform X mengenai keterbukaannya untuk membantu barisan artis yang mungkin terpalit dengan isu ini.


Prashan ketika dihubungi Gempak berkata, pertolongan yang dimaksudkan bersifat umum dalam ruang lingkup dunia hiburan yang besar.

“Hantaran yang saya buat itu bersifat umum sahaja. Sebagai contoh, jika ada yang terjejas dengan perkara ini (digugurkan kerana menyatakan sokongan pada Palestin), saya sanggup tolong.

“Tolong dari segi apa? Mungkin saya boleh carikan job untuk mereka. Jika artis berkenaan dilihat sesuai dengan genetik XENO Entertainment, mungkin kita akan sign dia,” katanya.

Prashan menambah, golongan selebriti yang terkesan juga boleh datang kepadanya jika mahu mendapatkan nasihat berhubung kerjaya dan perancangan untuk peringkat seterusnya.

“Jika ada yang perlukan nasihat seperti bagaimana nak teruskan dengan karier, saya boleh bantu. Bantuan dari segi apa yang mereka perlukan. Tidak bermaksud saya sign semua. Cuma bantu dari segi mana yang boleh,” katanya lagi.

Untuk rekod, XENO Entertainment merupakan label tempatan yang menaung artis popular seperti Ayda Jebat, As’ad Motawh, Liyana Jasmay, Intan Najuwa dan Kasih Leona Iris.

BERITA TRENDING: Kaka Azraff ‘Dimalukan’ Oleh Penyokong Zionis Sebab Support Palestin? Tapi Ada Netizen Malaysia Salahkan...​