Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari hari ini telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung laporan mengaitkannya dengan dakwaan cubaan dirasuah wang RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Selepas tamat prosiding mahkamah membabitkan Farid Kamil, 37, dia terus dibawa masuk ke dalam bilik saksi di kompleks mahkamah di sini sebelum keterangannya direkodkan pegawai polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurut peguam Megat Syazlee Mokhtarom, anak guamnya itu memberikan keterangan di bilik saksi itu selama 30 minit sebelum dilepaskan oleh pegawai berkenaan.

“Dia dijangka menyambung memberikan keterangan di IPD Petaling Jaya esok selepas sebutan semula kes bagi lima pertuduhan jenayah dihadapinya esok di mahkamah di sini,” katanya.

Pada 9 November lalu, akhbar melaporkan Polis Selangor akan memanggil Farid Kamil dalam masa terdekat susulan dakwaan pelakon itu mengatakan dirinya cuba diberi rasuah sebanyak RM5 juta oleh kerajaan terdahulu bagi memaafkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tindakan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam dan laporan itu mengatakan bahawa Farid Kamil sengaja mereka cerita untuk menjatuhkan imej bekas Perdana Menteri itu.

Sumber: Utusan Online