Isu Guna Gambar Berunsur Lucah Untuk Promosi Produk, Neelofa Mahu Letakkan ‘Fullstop’ - “Saya Rasa Lebih Baik Kita…”
Asyikin Mayudin
13/07/2024 07:12 MYT
13/07/2024 07:12 MYT
Susulan gambar yang dimuat naik di laman Instagram salah satu produk yang diusahakan, Isterix mengandungi grafik yang berunsur lucah, selebriti Neelofa memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut.
Pihak Nilofagroup Dah Mohon Maaf
Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor menegaskan pihak nilofagroup sebelum ini sudah pun memberi kenyataan dan memohon maaf.
“Saya rasa komen dan penjelasan lanjut tidak lagi diperlukan sekarang ini lagi sebab takut jadi panjang cerita. Dari pihak jenama tersebut sudah membuat permohonan maaf dan kita sudah akui apa yang perlu.
“Saya rasa itu sudah ada ‘fullstop’, jadi kita teruskan pada episod yang seterusnya dan saya rasa lebih baik kita tidak bercakap soal itu,” katanya kepada Gempak.
Neelofa berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pembukaan kedai Nunha yang pertama di Mytown Mall, Kuala Lumpur.
Menjadi Pengajaran
Dalam masa sama Neelofa mengakui perkara itu memberikan pengajaran buatnya, namun tetap tidak mahu memanjangkan ulasan berkenaan perkara itu.
“Ya pengajaran tapi tiada ulasan lain,” katanya.
Terdahulu, syarikat pembangunan aplikasi gaya hidup Muslim, TheNoor, turut menafikan pembabitan pengasasnya Neelofa dalam penghasilan atau pengedaran gambar iklan berunsur lucah di laman media sosial Instagram, baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: IsteriX Mohon Maaf, TheNoor Nafi Neelofa Terlibat Hasilkan Iklan Berunsur Lucah - "Kami Terima Segala Teguran & Akur Dengan Kesilapan..."
ARTIKEL BERKAITAN: Dikritik Hebat Sebab Guna Gambar Double Meaning, Syarikat Neelofa Mohon Maaf
Menurut pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Mohd Izzairi Yamin, kandungan yang dimaksudkan itu hanya berkaitan dengan produk lain dan tidak mewakili strategi pemasaran atau piawaian etika TheNoor.
Akaun Instagram nilofagroup juga ada memuat naik kenyataan pasukan ‘Isterix’ susulan kontroversi tersebut.
Permohonan maaf itu dibuat selepas akaun Instagram rasmi Nilofa Group, memaparkan beberapa foto objek yang seakan-akan menyerupai alat sulit wanita bertujuan mempromosikan produk mengeratkan hubungan suami isteri.
Perkongsian tersebut mengundang kecaman netizen yang menyifatkan foto dikongsikan mempunyai unsur ‘soft porn’ sekali gus tidak menjaga sensitiviti masyarakat
Bukan itu sahaja, tindakan tersebut dikatakan kurang sesuai dengan penampilan Neelofa yang berhijab dan berpurdah.