Sejak drama bersiri I-Tanggang ditayangkan, ramai antara penonton yang mula cakna tentang isu kesihatan mental. Tidak hanya masalah Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP) yang diketengahkan dalam drama, penonton juga kelihatan lebih terbuka dengan isu-isu masalah mental lain.

Pensyarah Kanan dan Pakar Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Aida Syarinaz Ahmad Adlan berkata, manifestasi masalah kesihatan mental boleh muncul dalam pelbagai cara.

Katanya, masyarakat sekarang lebih arif dan sedar tentang kewujudan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan (anxiety), dan ini adalah satu perkembangan yang positif.

“Namun, ada juga masalah kesihatan mental yang lain, yang juga prevalen di dalam masyarakat, tetapi jarang dibincangkan, seperti masalah kecelaruan personaliti. Apabila masalah-masalah sebegini dibincangkan dengan terbuka, ia memberi ruang kepada mereka yang bergelut dengan masalah tersebut untuk tampil mendapatkan rawatan.

“Bagi kes-kes yang jarang berlaku pula, seperti MSBP, apabila ia diketengahkan melalui media massa supaya masyarakat lebih sedar tentang kepelbagaian manifestasi masalah kesihatan mental, ia dapat meminimakan stigma tentang kesihatan mental,” katanya kepada Gempak.

Tambah beliau, mungkin ada dalam kalangan kita atau orang di sekeliling yang menunjukkan sikap yang mencurigakan atau tidak kena, dan masyarakat terlalu cepat untuk melabelkan mereka sebagai penipu, jahat, manipulatif dan sebagainya.

“Memahami masalah mereka bukanlah sekadar suatu justifikasi yang membenarkan mereka terus berkelakuan sebegitu, namun ia suatu peluang yang terbuka untuk cuba memahami cabaran hidup mereka serta ruang untuk mendapatkan bantuan untuk memulihkan keadaan mereka,” katanya lagi.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!