Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isu Perpisahan Dalam Kalangan Artis, Ini Pendapat Erra Fazira - “Jangan Sampai Mengaibkan Orang Lain”

Firdaus
16/10/2024 06:55 MYT
Dipuji kerana tidak pernah mendedahkan masalah rumah tangga kepada umum, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira enggan kisahnya itu dibandingkan dengan orang lain.

Kongsi Cara Selesaikan Masalah

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

“Ini bukan soal ‘high class’ atau tidak. Ia lebih kepada cara individu menyelesaikan masalah masing-masing. Ada orang lebih puas bila meluahkan atau memendam.

“Cara saya dan orang lain berbeza. Kita tidak perlu menghakimi cara orang lain. Berdiam diri atau tidak, ia tiada kena mengena dengan kelas seseorang.

“Kadang-kala, ada pula yang bertanya kenapa tidak perjelaskan permasalahan? Ada yang beranggapan lebih baik diperjelaskan daripada timbul spekulasi.

“Saya pun tak boleh nak tentukan cara mana lebih baik. Ada orang menganggap perjuangkan hak adalah perkara terbaik. Ada juga yang merasakan mengalah lebih baik. Tepuk dada, tanya selera,” katanya.

Pelakon filem Cinta Kolestrol itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di konsert Kilauan Emas 2024 yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Erra turut menasihatkan supaya sentiasa menjaga aib pasangan walaupun telah berpisah.

"Jangan sampai mengaibkan orang lain...

“Saya lebih selesa dan tenang jika menyelesaikan masalah dua pihak secara dalaman. Jika ada masalah, tidak perlu diuar-uarkan.

“Namun, saya juga ada mengenali beberapa orang yang tidak akan tenang selagi kebenaran tidak diperjuangkan.

“Yang menggerakkan tindakan seseorang itu, Allah juga. Jadi, kita tak boleh menilai. Cuma kalau nak memperjuangkan sekalipun, pada pendapat saya, jangan sampai mengaibkan orang lain,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, setiap pasangan juga hendaklah memikirkan soal anak-anak dalam setiap keputusan yang dilakukan.

“Dari segi logik kehidupan, sudah tentu anak akan membesar. Mungkin ada ibu bapa yang merasakan anak-anak itu perlu tahu kebenaran.

“Jika pendekatan saya, saya tidak mahu 10 tahun lagi anak saya baca apa-apa di internet.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin hari ini kita bergaduh, sebulan atau setahun lagi kita sudah berbaik,” ujarnya lagi.

Disoal tentang hubungan baiknya bersama bekas suami, ini jawab Erra;

“Kita pilih untuk tidak mahu bergaduh. Ada kalanya, pihak satu lagi mungkin berkeras. Jadi, kitalah yang kena bertenang dah mengalah.

“Mengalah tak bererti kalah. Satu hari nanti, yang keras itu akan lembut bila kita berlembut. Kita serahkan pada Allah.

“Saya tidak suka bergaduh dan bermusuh. Dunia dan industri kita kecil sahaja. Pusing-pusing, jumpa juga. Apatah lagi bila kita pernah berumah tangga dan punyai anak,” akhirinya.

BERITA TRENDING: Video Fattah Amin Tentang Pesanan Ayah Kembali Tular - “Jangan Pernah Khianati Isteri”

​BERITA TRENDING: “Kita Tak Mahu Rakan-Rakan Bercerai” - Pekin Tak Kisah Dikecam, Posting Di Facebook Usaha Bantu Fattah & Fazura Baiki Hubungan

​BERITA TRENDING: Tak Sebelah Mana-Mana Pihak, Fasha Sandha Doakan Yang Terbaik Buat Fazura-Fattah

​BERITA TRENDING: Individu Ini Dedah Perangai Fattah Amin Waktu Kerja - “Setiap Kali Masuk Waktu Solat, Dia Orang Pertama Yang Minta…”

Sekadar info, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 tetapi jodoh mereka berpisah tiga tahun kemudian.

Setahun selepas itu, Erra mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun.

Begitupun, selepas tujuh tahun melayari kehidupan bersama-sama, pasangan terbabit memilih haluan sendiri.

#Fattah Amin #Erra Fazira #Fazura #cerai #Suami #Isteri
;