Hiburan
"It's Time To Take Another Step To Move On .." - Pesan Ibu Arwah Ashraf Pada BCL
Ibu kepada Allahyarham Ashraf Sinclair, Khadijah Abdul Rahman menyifatkan lagu terbaharu penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) yang berjudul 12 Tahun Terindah merupakan hadiah paling bermakna daripada Allah untuk menantu dan arwah anaknya.
Menurut Khadijah atau lebih mesra dipanggil Dida, dia yakin BCL akan mendidik anak tercinta, Noah Aidan Sinclair sama seperti ketika arwah Ashraf masih ada.
"12 tahun terindah..Alhamdulillah, sebuah hadiah terindah daripada Allah SWT untuk insan tersayang Bunga dan Allahyarham Ashraf.
"Satu hadiah yang akan Bunga hargai dengan seluruh hidupnya untuk membawa Noah menjadi anak soleh..semua diajar oleh arwah kini ada dalam diri Noah.
"Doaku semoga Bunga dirahmati Allah SWT, tetap kuat dan berada dalam keadaan baik, bahagia dan bersyukur serta sentiasa menyumbang.. satu legasi yang ditinggalkan Ashraf untuk Bunga, Noah dan kami semua," tulisnya di Instagram (IG).
Pada hari Ahad lalu, 12 Tahun Terindah telah dilancarkan dan sudah mencapai 6.5 juta tontonan selepas satu hari hari dilancarkan.
Lagu yang meruntun jiwa ramai orang itu memaparkan momen indah bersama arwah selain Noah yang menjadi sumber kekuatan BCL untuk meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu, Dida menyatakan ini adalah masa terbaik untuk BCL bergerak ke hadapan.
"It's time to take another step to move on..kami bersamamu Bunga. Besar cinta daripada keluarga besarmu di Malaysia.
"Tahniah atas penghasilan 12 Tahun Terindah, berkongsi dan menghiburkan kami semua. Alhamdulillah!" tulisnya lagi.
Terdahulu, Ashraf telah dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 4.00 pagi (waktu tempatan) pada 18 Februari lalu.
Allahyarham telah dikebumikan di kompleks pemakaman San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia.
Must-Watch Video