Aktres Ellie Suriaty Omar menegaskan tindakannya memberikan ucapan secara lantang dan bersemangat bukanlah satu lakonan.

Baru-baru ini, video ucapan protes yang dilakukan Ellie di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah tular di laman sosial dan mengundang cakap-cakap orang ramai.

"Lakonan adalah profesion saya. Itu merupakan kerjaya dan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main.

"Sebagai contoh, jika ada yang mahu saya berlakon secara suka-suka, saya tak boleh melakukannya... Malah rasa terganggu dengan permintaan tersebut kerana ia bagaikan satu sindiran buat saya.

"Jika berada di set penggambaran, berhadapan dengan kamera dan ada skrip serta watak, barulah saya boleh berlakon.

"Ingin saya tegaskan, ucapan yang saya lafazkan itu merupakan sesuatu yang ikhlas dari jiwa saya. Ia datang sendiri.

"Saya bukanlah ahli politik. Saya hanyalah aktivis yang memberikan sokongan. Saya juga tak menyangka video ucapan saya itu menjadi tular di laman sosial," kata Ellie.

Tambah pengarah filem Penanggal ini, dia juga enggan mengambil pusing jika ada pihak yang mengkritik dirinya.

"Saya tak mahu mengambil tahu mengenai kritikan yang dilemparkan. Saya akui, ramai orang termasuk segelintir rakan-rakan artis mengkritik apa yang saya telah lakukan.

"Biarlah mereka mahu berkata-kata kerana masih ramai yang menyokong tindakan saya," katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2018 di The International Gallery at Alya, Bukit Kiara, semalam.

Telefilem arahan Ellie, Tulus Cinta tersenarai sebagai calon bagi kategori Drama Terbaik.

"Telefilem tersebut dilakonkan oleh Amar Asyraf, Siti Elizad dan ramai lagi. Saya tak meletakkan harapan tinggi kerana yang tersenarai semuanya karya yang berkualiti.

"Saya harap, karya saya dapat memberikan kesan kepada penonton yang menyaksikannya," katanya lagi.

Anugerah Skrin 2018 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 2 November ini pada jam 9.00 malam dan disiarkan di TV3.