Pelakon Izzue Islam mengakui terkejut apabila mendapat tahu rakan baiknya, Aeril Zafrel positif virus Covid-19.

Kata Izzue dia belajar banyak perkara daripada ujian pandemik yang sedang melanda dunia ketika ini termasuk melihat rakan-rakan sendiri positif virus berkenaan.

"Sudah tentu saya terkejut apabila mendapat tahu Aeril positif Covid-19. Dia pun antara kawan baik saya dan kami baru selesai penggambaran drama bersama.

"Sejurus mendapat tahu, saya terus mesej dia dan berikan kata-kata semangat kepadanya. Semoga dia kuat!

"Seperkara yang saya belajar daripada situasi semasa, sesiapa pun takkan terlepas daripada risiko Covid-19. Kadang-kadang kita dah jaga pun boleh kena.

"Saya tahu Aeril sentiasa menjaga SOP, sanitize, pakai pelitup muka dan jaga jarak sosial. Tapi kalau nak kena, akan kena juga," katanya kepada Gempak.

A post shared by Izzue Islam ™ (@izzueislam)


Menerusi saringan yang dilakukan baru-baru ini, Aeril mengesahkan dirinya positif virus berkenaan namun bersyukur isteri dan anak-anaknya negatif.

Izzue dan Aeril kali terakhir bertemu ketika penggambaran drama bersiri Tercipta Satu Ikatan.

Berkongsi mengenai sambutan drama terbabit, kata Izzue dia berpuas hati apabila lakonannya sebagai watak antagonis menjadi bualan ramai.

"Watak Zhafran ini mencabar daripada segi emosi. Dia bermain dengan perasaan dendam dan pelbagai muslihat untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

"Alhamdulillah, tempoh PKP ini pun ada hikmahnya apabila ramai yang berkesempatan menonton drama ini di rumah masing-masing.

"Tinggal lagi beberapa episod dan pastinya penonton akan terkejut dengan pengakhiran drama ini," katanya.

Tercipta Satu Ikatan dibarisi Izzue Islam, Aeril Zafrel, Hanna Delisha dan ramai lagi.

Drama adaptasi novel terkenal itu ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di saluran Astro Ria.