Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Jabir Meftah Calon Juara Hero Remaja?

Kamaruddin Razal
15/07/2020 11:53 MYT
Pendatang baru dalam dunia hiburan, Jabir Meftah menolak andaian segelintir peminat yang meramalkan dirinya bakal dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2020.

Menafikan dirinya merupakan calon kegemaran berbanding empat finalis lain, jejaka berusia 20 tahun ini percaya rakan-rakannya turut mempunyai kelebihan tersendiri.

Finale Hero Remaja akan berlangsung Khamis (esok), 16 Julai 2020, jam 9 malam di Astro Ria dan Ria HD.

"Saya rasa tak kot... Sebelum ini saya pernah dikecam. Jadi, rasanya ramai yang tak menyokong saya.

"Apapun, semua finalis mempunyai kelebihan masing-masing. Apa yang penting, pada malam akhir Hero Remaja 2020 nanti, saya akan melakukan sehabis baik.

"Sedar tak sedar, pertandingan ini sudah hampir sampai ke kemuncaknya. Persaingan memang hebat dan saya harapkan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Dilihat menyerlah berbanding finalis lain, Jabir temah memulakan langkah dalam dunia lakonan apabila dilamar oleh syarikat penerbitan Zeel Productions.

Membintangi drama bersiri Juliet yang bakal disiarkan di RTM, Jabir menganggap peluang ini sebagai rezeki untuk dirinya.

"Alhamdulillah, saya sifatkan ini sebagai rezeki. Soal menyerlah berbanding yang lain, semua orang ada masa dan ruang masing-masing. Mungkin sekarang waktu saya, masa hadapan pula kita tak tahu lagi.

"Saya banyak belajar ketika membawakan watak Noah dalam drama bersiri ini. Pada awalnya kekok kerana rasa gemuruh, tetapi lama kelamaan semuanya berjalan lancar," katanya lagi.





Naskhah Juliet yang bakal bersiaran selama 26 episod mendapat sentuhan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar selaku sutradara.

Juliet yang turut membariskan pelakon hebat lain seperti Redza Rosli, Rita Nadira, Rozita Che Wan, Haliza Misbun, Azza Elite, Sofia Ibrahim, Louisa Chong, Scha Elinnea serta ramai lagi dan bakal ditayangkan sekitar September ini.







#Hero Remaja #Jabir Meftah