Pelakon Fasha Sandha mendedahkan dia membuat rujukan untuk watak Mak Andeh menerusi filem Maleficent.

Menurut Fasha dia mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menjiwai watak tersebut.

"Pihak produksi meminta saya untuk membuat rujukan watak menerusi filem Maleficient.

"Namun yang selebihnya saya lakukan sendiri untuk menghidupkan watak saya.

"Saya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menjiwai watak seorang ahli sihir," katanya kepada Gempak.

Fasha ditemui ketika majlis tayangan filem televisyen (FTV) Suatukala - Timun Mas & Ijo yang diadakan di One Utama hari ini.

Tambah isteri kepada aktor Aidil Aziz berkata dia suka membawa watak yang berlainan daripada karakter diri.

"Sebenarnya sukar untuk membawa watak ini kerana ia bertentangan dengan diri saya. Namun watak ini telah membawa saya keluar dari zon selesa.

"Saya suka karakter seperti ini kerana ia menjadi. Dari segi pakaian, prop yang digunakan nampak nyata dan klasik.

"Kalau ada rezeki tawaran untuk watak seperti ini insya-Allah akan diterima," katanya lagi.

Selain Fasha, filem Suatukala - Timun Mas & Ijo turut dibintangi oleh Prisia Nasution, Thalia Ivanka, Fikry Kiki dan Kishok Kumar.

Suatukala - Timun Mas & Ijo bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 1 Ogos 2019.

Dengan hanya RM 15.00, penonton boleh menonton filem televisyen (FTV) ini dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Suatukala - Timun Mas & Ijo boleh turut didapati menerusi platform digital, 'On Demand'.