Hiburan
Kejap Menyepi, Kejap Buat Konsert… Ini Jawapan Butterfingers!
Kumpulan muzik grunge terkemuka negara, Butterfingers percaya kewujudan mereka secara 'on off' lebih meninggalkan kesan rindu kepada peminat yang ternanti-nantikan penyatuan kesemua ahli utama.
Pemain gitarnya, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar berkata, mereka tetap yakin peminat akan menunggu kehadiran Butterfingers walaupun telah tiga tahun tidak bersama dalam satu pentas yang besar.
Menurut Loque, kali terakhir disatukan adalah ketika melakukan persembahan di sebuah konsert pada 2016.
"Selepas tiga tahun, peminat bakal menyaksikan penyatuan semula ahli-ahli band ini menerusi Konsert Transcendence 20 Tahun Butterfingers.
"Konsert ini bersempena ulang tahun ke-20 album kami yang paling laris terjual iaitu Transcendence," katanya.
Menurut Loque, dia berharap semua yang membesar dengan muzik Butterfingers dapat hadir bersama meriahkan konsert ini selain diharap dapat menarik minat generasi baharu terhadap muzik yang dibawakan oleh mereka.
"Kami akan bawa lagu-lagu daripada album tersebut beserta album-album sebelum itu seperti 1.2 Miligram, Butter Worth Pushful dan Malayneum," katanya.
Konsert Transcendence 20 Tahun Butterfingers bakal diadakan pada 2 November depan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Tiket konsert berharga RM115, RM165 dan RM265 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com.
Untuk rekod, Butterfingers terdiri daripada Emmet selaku vokalis dan pemain gitar, Loque (pemain gitar), Kadak (bassist) dan Loko (pemain dram).
Must-Watch Video