Pasukan DJ Belalang berjaya menjadi juara menewaskan pasukan JoHaRa Mentadak di temasya persahabatan JoHaRa Takraw yang berlangsung pada Sabtu lalu, (23 Mac) di Kompleks MSN, Taman Keramat.

Pasukan DJ Belalang diwakili oleh Muhammad Shaniq Zarwisy (tekong), Saad Arni (apit kanan) dan Fahrorrozi Fadhli (apit kiri).

Semuanya berusia dalam lingkungan umur 11 hingga 12 tahun dan terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Damansara Jaya 2, Petaling Jaya.

Bermula dengan menerima panggilan dari seorang peminat ERA yang ingin melihat kehebatan JoHaRa bermain takraw, ia mencetuskan idea untuk mengadakan JoHaRa Takraw!

Sebelum ini, JoHaRa terkenal dengan kehandalan mereka bermain bola sepak dan mewakili pasukan Dugong All Stars.

Oleh itu, bermula dari 4 hingga 17 Mac lalu, ERA mencari peminat-peminat dibawah umur 17 tahun untuk menyertai JoHaRa Takraw dan bermain sepak takraw bersama Johan, Haniff dan Ray dari JoHaRa Pagi ERA.

Daripada hampir 200 penyertaan yang diterima, hanya satu kumpulan dipilih untuk berlawan sepak takraw menentang Pasukan JoHaRa Mentadak, iaitu pasukan DJ Belalang.

Pemilihan kumpulan dibuat berdasarkan video yang dimuat naik di laman sosial Instagram mereka yang menunjukkan kumpulan mereka bermain sepak takraw.

Pasukan JoHaRa Mentadak giat berlatih dan juga mendapat latihan intensif daripada Mohd Rashidi Nordin, jurulatih Skuad Sepak Takraw Negara selama hampir tiga minggu.

Pada perlawanan persahabatan JoHaRa Takraw juga, Mohammad Syahir Rosdi, Tekong Terbaik Liga Sepak Takraw (STL) 2016, turut hadir bermain mewakili pasukan JoHaRa Mentadak.