Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Jadi Mangsa Rogol, Tiz Zaqyah Terkesan Gara-Gara Watak Lara - “Saya Rasa Tidak Sabar Nak Tukar Baju…”

Asyikin Mayudin
29/03/2023 06:50 MYT

Drama terbaharu Astro Original berjudul Liar kini menjadi perbualan hangat di laman sosial disebabkan jalan cerita yang agak berbeza.

 

Berkongsi mengenai wataknya sebagai Lara, pelakon Tiz Zaqyah memberitahu membawa karekter sebagai mangsa rogol bukan mudah malah turut memberi kesan kepada dirinya. 

 

"Karakter Lara sangat berat terutama sebagai mangsa rogol, Tuhan sahaja yang tahu apa saya rasa. Setiap kali habis penggambaran, saya rasa tidak sabar nak tukar baju dipakai Lara. 

 

“Rasa dia lain macam sangat. Paling membuatkan saya terkesan ialah ketika babak pemeriksaan selepas dirogol. 

 

“Melihat banyak poster tentang jenayah rogol ditampal dalam bilik tersebut membuatkan saya rasa seperti kena serangan panik namun masih terkawal," kongsinya kepada Gempak.

 

Liar membariskan pelakon-pelakon hebat negara seperti Tiz Zaqyah, Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah, Dato’ Jalaluddin Hassan, Wan Raja, Nadiya Nisaa, Atilia Haron, Nazrief Nazri, Haridhass Selvaraju, Naz Rahman, Nas-T, Aniq Suhair, Farah Ahmad, Joyce Harn dan Charles Roberts. 

 

Manakala naskhah itu juga mendapat sentuhan pengarah Jason Chong, Imri Nasution dan Lim Siu Min.

 

Two sides, One Truth. Liar mengisahkan tentang Lara Sulaiman, seorang guru yang bijak dan berdedikasi. Selepas bercerai dengan suaminya, Lara cuba untuk ‘move on’ dan mula keluar janji temu. 

 

Lara mengenali Aiman Yusuf iaitu seorang pakar bedah yang juga pernah melalui episod perit dalam kehidupannya sebelum ini dan mereka mula berasa amat selesa dengan kehadiran masing-masing. 

 

Namun, temu janji pertama mereka berubah menjadi mimpi ngeri. Lara menuduh Aiman merogolnya, manakala Aiman menegaskan bahawa dia membantu Lara yang tidak sihat untuk pulang dengan selamat. 

 

Siapa yang bercakap benar? Liar menyaksikan penipuan yang memusnahkan kehidupan Lara dan Aiman, serta rakan-rakan mahupun keluarga mereka apabila rahsia dan pembohongan terbongkar.

 

Saksi drama premium, Liar mulai 25 Mac 2023, setiap Sabtu, bermula jam 12 tengah malam di platform On Demand atau Astro Go. 

 

Manakala bermula 3 April 2023, setiap Isnin, jam 9.00mlm di Astro Ria. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sosial, Instagram, TikTok, Twitter, Facebook Astro Shaw atau Astro Gempak untuk maklumat lanjut.

#Tiz Zaqyah #Liar #Astro Original #Tiz #Tiz Liar #Lara Liar #Tiz Lara #Watak Tiz