Vokalis kumpulan Exists Ezad Lazim teruja apabila berpeluang menjadi pembantu mutawif ketika kunjungannya ke Tanah Suci Makkah baru-baru ini.

Menurut Ezad, ini pengalaman pertamanya bergelar pembantu mutawif dan berharap dapat mendalami bidang ini.

“Tahun ni pemergian saya sedikit berbeza kerana saya menjadi pembantu mutawif. Bila jadi pembantu mutawif, pengalamannya sangat unik.

“Orang kata bila jadi pembantu mutawif, kita tak boleh nak buat umrah sangat tapi sebenarnya boleh je kita pun sama-sama buat ibadah cuma kita kena lebihkan pada jemaah. Apa-apa, kita kena utamakan jemaah dan kita kena guide mereka,” ujar Ezad kepada Gempak.



Ezad ditemui selepas majlis Cinta White Ballroom by Ezad Lazim yang diadakan di Dewan Sri Taming, Balakong pada Ahad.

Tambah Ezad lagi, pada awalnya dia agak ragu-ragu untuk menerima pelawaan ini namun menganggapnya sebagai satu jalan pembuka rezeki.

“Idea untuk jadi pembantu mutawif sebenarnya timbul bila saya bercadang nak pergi umrah, tiba-tiba ada kawan dari agensi umrah yang menawarkan saya pergi sebagai pembantunya.

“Mula-mula saya ragu-ragu juga macam layak ke saya jadi pembantu mutawif tapi ustaz tersebut meyakinkan saya,” tambah Ezad lagi.

Dalam perkembangan lain, Ezad dan isterinya Zeana bakal bersanding buat kali kedua sebagai tanda meraikan ulang tahun ketujuh perkahwinan mereka.