Hos dan penyampai radio ERA, Radin tidak risau seandainya penonton tersalah anggap pemilihannya sebagai hos untuk program bual bicara Mingguan Wanita musim kedua.

Jelas Radin, persepsi itu bergantung pada pandangan tersendiri penonton dan rancangan itu dianggapnya sebagai platform terbaik untuk menonjolkan bakat dalam bidang pengacaraan televisyen.

"Ini peluang untuk saya menonjolkan sisi lain saya apabila bercakap mengenai topik berkaitan wanita.

"Lelaki pun ada 'point of view'. Saya tiada isu sekiranya ada yang mempertikaikan pemilihan saya sebagai hos sebab itu pendapat masing-masing," jelas Radin.

Selain Radin, Mingguan Wanita turut memilih pelakon bertubuh sasa Norman Hakim sebagai hos bersama setiap minggu.

Sementara itu, tambah Radin pembabitan hos lelaki untuk rancangan bual bicara berkisar soal wanita punyai signifikan tersendiri.

"Hos lelaki boleh mengumpulkan maklum balas daripada penonton serta audiens lelaki.

"Jadi, pandangan itu lebih luas bukan sahaja wanita sesama wanita tetapi juga perlu didengari daripada pihak lelaki. Jadi ia seimbang," tambah Radin lagi.

Mingguan Wanita sudah mula bersiaran sejak semalam 8 Julai 2019 setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).

Selain Radin dan Norman, rancangan itu turut dihoskan oleh Siti Elizad, Erra Fazira, Sherry Alhadad dan pakar motivasi secara bergilir-gilir.

Pasangan hos Erra dan Elizad akan mengendalikan program itu setiap hari Isnin dengan kupasan topik berkaitan Kesihatan dan Kecantikan.

Manakala, Radin dan Elizad akan meneruskan program hari Selasa dengan tema Kemasyarakatan dan Gaya Hidup.

Setiap hari Rabu akan dikendalikan oleh Elizad dan Sherry untuk mengupas topik berkaitan Makanan & Travelog manakala Erra dan Norman akan menggantikan slot hari Khamis menerusi Cerita Dalam Kain.

Tema pada setiap hari Jumaat pula ialah Motivasi, Inspirasi & Kerohanian yang akan dikendalikan Elizad secara bergilir-gilir setiap minggu bersama Datuk Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya dan Imam Muda Asyraf.