Penyanyi Ezlynn sanggup melabur sejumlah wang untuk mengubah imejnya sempena kemunculan single baharu, Goyang.

Jelas Ezlynn, sebanyak RM5,000 telah dihabiskan untuk mencari lebih 40 rambut palsu demi imej terbarunya.

"Semata-mata imej ini, saya ada lebih kurang 50 koleksi rambut palsu yang saya beli merata-rata tempat.

"Pelbagai warna dan panjang, asalkan nampak cantik saya beli.

"Kesemua rambut palsu ini saya perlukan untuk menjayakan persembahan berbeza-beza di banyak lokasi nanti.

"Saya rasa apabila memakai rambut palsu akan menggembirakan saya," katanya yang sudah 'membuang' imej rambut kerintingnya yang ikonik sejak kemunculan lagu Hi Hi Bye Bye.

Tambah Ezlynn, bintang terkenal Hollywood, Nicki Minaj dijadikan sumber inspirasi untuk bergaya.

"Sebenarnya idea untuk menggayakan rambut palsu muncul selepas menjayakan sesi fotografi.

"Saya nak keluarkan diri saya daripada Hi Hi Bye Bye dan nak nampak muda. Saya mahu orang tertanya-tanya siapakah individu yang dilihat mereka nanti.

"Tetapi saya cuma mengikut gaya rambut Nicki Minaj sahaja, bukannya cara dia berpakaian," ujarnya.

Ezlynn muncul menerusi single terbaharu berkonsep Fun Ska berjudul Goyang.

Lagu itu merupakan karya suami isteri Farique Nadzir dan Adah Kahir.