Baru-baru ini, kecoh di laman sosial apabila trend Unboxing Pengantin tular dan sering menjadi ikutan pasangan pengantin baharu di TikTok. Menerusi trend tersebut, sang suami dilihat menolong sang isteri menanggalkan tudung selain membuka aksesori yang ada di kepala.

Sungguhpun ramai yang terjebak melakukan cabaran berkenaan, namun, ramai juga yang memberi kritikan serta kecaman terhadap perbuatan itu.

Ketua Penyelidik Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr Ahmad Sanusi menerusi perkongsiannya di laman Facebook juga tidak ketinggalan menasihati orang ramai supaya tidak terikut-ikut dengan trend berkenaan.

“Telah menjadi trend terkini pula di TikTok, pasangan pengantin baru menjalankan upacara ‘unboxing isteri’.

“Upacara ini adalah bercanggah dengan prinsip Islam secara asasnya. Rasulullah memerintahkan para suami agar memelihara kehormatan dan penampilan para isteri sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta,” katanya.

Sanusi menambah, apa yang menjadi kebimbangan adalah sekiranya upacara sebegini menjadi perhatian anak-anak muda yang masih bersekolah sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan yang berpotensi menjadi budaya.

“Atau perbuatan tersebut diikuti pula oleh pasangan suami isteri lain yang turut mendedahkan aksi mesra mereka. Bukankah kita tidak mahu menjadi pencetus kepada kemungkaran.

“Malah, istilah ‘unboxing’ ini juga tidak layak untuk digunakan pada isteri yang bukan material atau barangan semata-mata. Nasihat ini hanyalah berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah demi kebaikan sesama muslim. Semoga Allah membimbing kita.

Menerusi ruangan komen, ada yang turut melahirkan rasa kurang senang dan berharap agar hal sedemikian diberi penekanan sewaktu kursus perkahwinan.

“Sangat memalukan. Takutnya kepada azab Allah. Mohon juga perkara ini diberi penekanan dan pemberitahuan oleh Majlis Agama Islam semasa kursus perkahwinan,” ujar seorang netizen.

“Luluh hati jiwa seorang ayah bila tengok anak perempuan kena unboxed begini. Tak patut,” kata seorang pengguna Facebook pula.