Juara Gegar Vaganza musim ketiga, Azharina Azhar kini mengamalkan diet cecair untuk meningkatkan stamina.

Semuanya dilakukan sebagai persiapan untuk mengadakan Konsert Azharina Queen of Soul yang bakal berlangsung pada 29 Jun ini.

"Timbul keraguan, bolehkan saya mengekalkan stamina memandangkan konsert ini merupakan konsert sulung pertama saya yang berlangsung dalam skala besar?

"Konsert ini akan berlangsung di Teater Shah Alam selama hampir dua jam dan bakal menyaksikan kehadiran 900 penonton. Sudah tentu saya risau!

"Jadi, sebagai persediaan, saya mahu meningkatkan stamina dengan mengamalkan diet cecair. Saya lebih banyak makan buah, sayuran, minum air dengan lebih banyak serta menjamah sup," katanya.

Bakal membawakan seorang penyanyi luar negara sebagai pasangan duet di konsert terbabit, Azharina mahu merahsiakan identiti penyanyi popular itu terlebih dahulu.

"Semuanya masih dalam proses perbincangan tetapi semuanya berjalan lancar dan mendapat respon positif.

"Saya memohon maaf kerana masih belum boleh memberitahu siapakah gerangan penyanyi tersebut, tetapi apa yang saya boleh katakan, dia sangat popular di Asia," katanya lagi.

Konsert ini mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.

Tiket mula dijual malam ini di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).