HIBURAN
Jalil Hamid Susah Hati Isteri Tak Hubungi Seharian, Demam Ketika Tunai Haji - “Lega Bila Dapat Bercakap Dengan Dia”
Pelakon, Jalil Hamid meluahkan rasa bimbang apabila gagal mendapat khabar berita tentang keadaan isterinya, Haryati Sariat, yang kini berada di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji.
Terkejut Isteri Demam Di Tanah Suci
Kongsi Jalil, dia berasa lega selepas berjaya menghubungi isterinya sekitar jam 3 petang semalam.
“Saya dah cuba hubungi dia dari semalam tetapi talian tidak berapa baik dan tersekat-sekat. Selepas menanti dari semalam, barulah petang tadi (semalam) saya dapat bercakap dengan dia.
“Tapi saya terkejut kerana dia beritahu dia demam. Jadi saya mula susah hati dan saya berdoa supaya dia diberikan kesihatan yang baik dan cepat pulih,” katanya kepada Gempak.
Jalil berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem Laknat di Midvalley Mall, Kuala Lumpur, semalam.
Isteri Bengkak Kaki
Tambah Jalil, dia berkongsi isterinya itu turut mengalami bengkak di bahagian kaki.
“Ini disebabkan dia perlu berjalan sejauh tiga kilometer dari hotel ke Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah. Kebetulan, dia memang ada penyakit ketumbuhan pada bahagian pada tumit kaki.
“Keadaan itu memburukkan kesakitannya,”ujarnya.
Jalil turut memaklumkan pada awalnya dia agak berat untuk menghadirkan diri pada majlis tayangan perdana filem lakonannya itu.
“Pada mulanya saya agak keberatan nak hadir. Tetapi selepas dapat bercakap dengan isteri dan rasa lega, saya putuskan untuk hadir malam ini (semalam).
“Saya juga minta anak temankan ke majlis sebab saya tak boleh memandu,” tutupnya.
Filem Laknat yang dibintangi pelakon Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amirul Affendi, Norkhiriah, Naque Ariffin, Mila Mohsin dan ramai lagi itu bakal ditayangkan 5 Jun ini.