Rasanya ramai yang sudah tahu milik siapa tagline “jamaah oh jamaah…Alhamdulillah”, terutama peminat program bual bicara santai Islam Itu Indah.

Siapa tidak kenal pengacara Islam Itu Indah, Muhammad Nur Maulana atau Uztaz Maulana yang sangat popular dikalangan semua peringkat umur termasuk kanak-kanak, gara-gara taglinenya itu!

Baru-baru ini Astro Gempak berpeluang ke Indonesia untuk bertemu sendiri Ustaza Maulana untuk berkongsi tentang program yang diasaskannya sejak 2011 itu.

“Alhamdulillah, pada mulanya saya sendiri tidak menyangka tagline saya itu turut popular di Malaysia dan saya gembira kerana diberitahu rating tayangan Islam Itu Indah di sana juga sangat bagus.



“Umum pasti sudah tahu yang sebulan sekali, program Islam Itu Indah akan membawakan artis dari Malaysia sebagai jemputan.

“Menakjubkan kerana kehadiran rakan-rakan artis dari Malaysia mendapat sambutan hangat dan menaikkan lagi rating kami,” katanya ceria.

Mula ditayangkan semula di saluran Bintang (141) pada Ramadan lalu, dengan kerjasama pihak Trans TV beberapa selebriti dari Malaysia dibawakan sebagai bintang tamu.

Mereka ialah Khai Bahar, Elyana, Mark Adam, Achey, Shiha Zikir, Arja Lee, Adam Shadan Zarina Zainuddin dan Ifa Raziah.



Selepas tujuh tahun menjadi antara rancangan keagamaan yang begitu popular di negara seberang, Islam Itu Indah sering muncul dengan nafas baru.

Terkini, selain Ustaz Maulana dua pengacara lain yang turut bersama dalam Islam Itu Indah ialah Natasha Rizky Pradita dan Ustaz Syam.

Dalam pada itu Ustaz Maulana turut berkongsi bagaimana program keagamaan pertama di Indonesia itu berjaya melekat di hati penonton selama lapan tahun.

“Setiap orang penyampaian dakwahnya berbeza. Saya lebih senang menggunakan pendekatan yang ada unsur humor dalam setiap isi kandungan setiap ceramah yang disampaikan.



“Pada awalnya saya sendiri mengendalikan rancangan ini. Masuk tahun ketiga baru ada pelakon Akhmad Fadli yang bertindak sebagai pengacara.

“Pada tahun keempat pula, kami menampilkan Oki Setiana Dewi dan kemudian terus menampilkan beberapa penceramah lain untuk menghidupkan rancangan ini.

“Sehingga kini, kami mempunyai lebih 15 orang penceramah yang akan bergilir-gilir bertugas untuk setiap episod,” kongsinya panjang lebar.

Islam Itu Indah program berdurasi 90 minit ini, bersiaran setiap Khamis dan Jumaat, pukul 6 petang di saluran Bintang (141).

Foto/Video: Google, Youtube