Hiburan
Jamal Abdillah & Dayang Nurfaizah Bergabung Dalam Konsert Amal Alunan Irama
Dua penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah akan bergabung dalam Konsert Amal Alunan Irama yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bercakap mengenai kerjasama dalam konsert itu, Jamal akui dia sudah lama mengagumi bakat penyanyi kelahiran bumi kenyalang itu.
"Ini bukan pertama kali saya bekerjasama dengan Dayang, saya pernah undang dia sebagai artis jemputan di konsert saya beberapa tahun lalu.
"Saya sudah lama kagumi bakat yang dimilikinya, Dayang mempunyai kebolehan tersendiri, jika berpeluang, saya tidak menolak untuk berduet bersamanya nanti," ujarnya.
Jamal berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert tersebut di Istana Budaya, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Tambah Jamal, dia rasa bersyukur kerana bakat yang dimilikinya mampu membantu golongan yang memerlukan menerusi konsert tersebut.
"Saya juga gembira dan bersyukur kerana dengan bakat yang saya miliki ini, saya boleh membantu golongan yang memerlukan.
"Dalam konsert ini, kelainan yang akan ditampilkan adalah dari segi pemilihan lagu, kebanyakkan lagu yang akan dipersembahkan akan ditetapkan oleh pihak penganjur," jelasnya lagi.
Konsert Amal Alunan Irama akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 April 2020 jam 8.30 malam.
Konsert ini merupakan anjuran bersama antara Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Persatuan Karyawan Malaysia, Istana Budaya dan Educaring Team Pejabat Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ia bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan di samping memberi peluang kepada golongan Asnaf, B40 dan orang kelainan upaya (OKU) untuk sama-sama menyaksikan konsert ini di Istana Budaya.
Di samping itu, sebahagian dana akan disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia untuk membantu kebajikan ahli di dalamnya.
Harga tiket dijual pada harga RM100, RM170, RM270 dan RM370 menerusi www.myticket.asia mulai 10 Mac 2020.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video