Penerbit filem Musyrik, S. Baldev Singh menggesa pihak yang bertanggungjawab dalam industri perfileman tempatan untuk menyediakan platform kepada golongan produser dalam memperkenalkan karya mereka ke peringkat antarabangsa.

S. Baldev berkata, dengan adanya platform tersebut secara tidak langsung ia membuka peluang kepada produser tempatan untuk mempromosikan lebih banyak lagi filem tempatan di luar negara.

"Saya cadangkan agar jangan bagi dana semata-mata untuk penerbitan, tetapi bagi platform kepada produser untuk mempromosikan filem kepada negara luar.

"Dari situ, kita boleh bagi ruang filem kita diketengahkan di negara mereka. Antaranya dengan memanggil duta-duta luar yang ada di Malaysia, jemput mereka jumpa produser dan tunjukkan hasil karya yang kita ada kepada mereka.

"Mereka mungkin boleh bantu kita bawa karya kita ke negara mereka. Setiap negara ada platform masing-masing," katanya kepada Gempak.

S. Baldev yang juga pemilik produksi White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. berkata, dia yakin industri filem tempatan mahu pergi jauh lebih baik daripada Korea.

"Kalau kita hanya dapat jual AS$1,000 sahaja pun, itu duit juga. Cuma apa yang lebih penting, kita sudah buka jalan untuk industri filem kita ke pasaran luar. Secara tidak langsung sudah bina 'jambatan'.

"Bahkan, kita bukan fikir untuk jual filem ke layar perak semata-mata, tetapi pada masa sama menjual budaya kita, dan jadikan pelakon kita sebagai produk negara," katanya.



Jelasnya lagi, negara juga sebenarnya memiliki ramai produser dan pengarah berbakat untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

S. Baldev yang sebelum ini menerbitkan filem I'm Not A Terrorist pernah menampilkan pelakon Chacha Maembong, Afiq Muiz dengan menggabungkan aktres Bollywood terkemuka, Farida Jalal.

Filem tersebut bukan sahaja ditayangkan di negara ini, sebaliknya turut menembusi pasaran Bollywood.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia bakal muncul dengan filem Tenu Rabb Maneya yang menggabungkan barisan pelakon Malaysia, Pakistan dan India.