Hiburan
Jangan Bikin Kerja Tuhan, Drama Band Rujuk Surah Al-Isra’
Vokalis Drama Band, Aepul Roza mengakui mendapat inspirasi daripada ayat 85 dalam surah Al-Isra' ketika menghasilkan single baru Jangan Bikin Kerja Tuhan (JKBT).
Aepul berkata, selain itu JKBT juga memberikan mesej mengenai sikap sesetengah manusia yang suka menjatuhkan hukum kepada orang lain, terutama wira papan kekunci di media sosial.
“Mesej utama JBKT ini menyeru semua untuk sentiasa muhasabah diri dan tidak menghukum seseorang atau sesuatu kerana ia diluar bidang “kerja” kita sebagai hamba di muka bumi ini.
“Pengajaran yang disampaikan melalui single JBKT ini berkaitan dengan sepotong ayat dalam Surah Al-Isra’, ayat ke 85, yang membawa maksud;
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku. Dan tidaklah kami diberi pengetahuan melainkan sedikit,” kata Aepul kepada Gempak.
Tambah Aepul lagi dia juga menerima kritikan daripada warganet secara terbuka mengenai JKBT.
“Seperti biasa, setiap kali Drama Band keluarkan lagu baru, mesti akan ada kritikan yang kami terima.
“Tapi, tak apalah, yang pasti kandungan karya kali ini berbeza sangat berbeza daripada yang sebelum ini," katanya.
Satu fakta menarik tentang JBKT adalah tempoh proses penyempurnaan lagu yang hanya mengambil masa 2 hari sahaja di ARE Studio."Saya sendiri tak sangka ramai berikan maklum balas dan itu sekali gus memberi semangat untuk kami siapkan lagu ini dalam masa dua hari saja," katanya.
Uniknya, video muzik JBKT juga menampilkan Drama Band memakai kain kafan dalam salah satu babak.
"Itu adalah salah satu kandungan untuk menambah rencah dan mengingatkan kita semua kepada kematian.
“Hari ini, ramai yang menghakimi orang lain, sedangkan bukan hak kita untuk menghukum baik buruk seseorang kerana itu adalah kerja Tuhan," katanya.
JBKT merupakan karya dari Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir & Padel Lecki. Manakala lirik lagu JBKT adalah sepenuhnya dari Aepul Roza.
JBKT telah diterbitkan oleh MVM Production dan ARE Studio.
Sejak dilancarkan pada 9 Julai 2020 lalu di laman Youtube MVM Music, JBKT telah memperoleh lebih 195 ribu tontonan.
JBKT boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox dan lain-lain.
Must-Watch Video