Pelakon terkenal, Datuk Fizz Fairuz mengatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita telah membuka mindanya.

Menurut Fizz, dia lebih menghargai sesuatu karya dan hasil pendapatan yang diperoleh dari lakonannya.

"Sejak pelaksanaan PKP, banyak perkara yang kita belajar terutamanya dari segi menghargai sesuatu karya dan bayaran ataupun gaji yang diperoleh hasil dari pekerjaan kita.

"Boleh disimpulkan saya lebih menghargai apa yang diperolehi selama ini, penularan pandemik COVID-19 memang membuka minda saya," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Fizz juga menasihati golongan artis agar lebih bersyukur dan tidak membelanjakan wang dengan boros.

"Golongan artis harus lebih berhati-hati dan memandang ke hadapan. Duit yang diperoleh hasil dari penglibatan dalam industri hiburan itu haruslah digunakan dengan cara yang betul.

"Bersyukur dengan apa yang ada, dan paling penting, simpanlah duit. jangan ketika dapat duit, terus habiskan.

"Sekiranya apa-apa berlaku nanti, duit itulah yang akan kita guna semula.

"Kalau berlaku kesusahan dan tiada duit simpanan, akan adalah artis yang meminta bantuan dari pihak lain seperti yang kita pernah lihat," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fizz kini membintangi drama bersiri Tanya Sama Pokok arahan Sabri Yunus yang ditayangkan pada setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).

Selain Fizz, Tanya Sama Pokok turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Mona Allen, Sara Ali, Sabri Yunus sendiri, Angeline Tan dan ramai lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!