Aktres jelita, Datin Seri Maria Farida berkongsi pandangan mengenai kegilaan orang ramai yang melakukan pembedahan kosmetik.

Menurut Maria, setiap orang mempunyai hak untuk melakukannya, namun pembedahan atau pengubahsuaian wajah yang dilakukan haruslah tidak melampaui batas.

"Sesiapa yang mahu buat suntikan atau pembedahan kosmetik, itu hak masing-masing, sekarang memang sudah ramai yang lakukannya.

"Sesetengah orang akan rasa lebih gembira dan yakin diri jika mereka lakukan pembedahan kosmetik, jika begitu, lakukan sahajalah.

"Cuma bagi saya, sesiapa yang mahu lakukannya, janganlah melampaui batas, jangan daripada cantik menjadi lain pula," katanya kepada Gempak baru-baru ini.

Tambah Maria, dia sendiri pernah melihat individu yang terlalu mengubah wajah sehingga menghilangkan kecantikan asal.

"Saya pernah melihat ada juga yang terlalu mengubah wajah, kalau sikit-sikit tidak mengapa, kita pula yang rasa sayang akan wajah asalnya," katanya lagi.

Sekadar info, Maria mulai aktif di industri hiburan tempatan pada sekitar tahun 1991 dan berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini.