Berita

Jangan Gaduh Di Jalan Raya, PLUS Buka 18 Lorong Smart Lane Sempena Aidilfitri

gempak
Awani
08/04/2024
11:55 MYT
Sponsor Banner
Jangan Gaduh Di Jalan Raya, PLUS Buka 18 Lorong Smart Lane Sempena Aidilfitri
Aidilfitri datang lagi, begitu jugalah kesesakan jalan termasuk lebuh raya utama seluruh Malaysia.
Sempena musim perayaan ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan 18 lokasi ‘Smart Lane’ di sepanjang lebuh rayanya untuk menampung peningkatan jumlah trafik.
Bagi musim perayaan Aidilfitri ini, dijangka angka pengguna trafik mencapai sekitar 2.1 juta pada waktu puncak iaitu peningkatan 15 peratus berbanding 1.8 juta pada hari-hari biasa.
PLUS menjangkakan waktu puncak trafik bagi musim perayaan kali ini adalah pada 5, 6, 8, 9, 12, 13, dan 14 April 2024.
Justeru kali ini, beberapa penambah baikan dibuat bagi memastikan kelancaran orang ramai untuk memanfaatkan ‘Smart Lane’, antaranya pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda elektronik mudah alih untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi yang tertentu.
Selain itu, papan-papan tanda peringatan turut ditambah untuk para pengguna lebuh raya lebih peka dan dapat merancang pemanduan dengan lebih berhemah; iaitu pada 1km sebelum dan 500m sebelum bermula ‘Smart Lane’; pada setiap 500m di dalam ‘Smart Lane’; dan pada 200m sebelum tamat ‘Smart Lane’.
Ketika ‘Smart Lane’ diaktifkan, lorong paling kiri sedia ada atau lorong kecemasan akan dibuka sebagai laluan tambahan yang boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya.
Pandu dengan berhemah mengikut had laju yang ditetapkan di dalam ‘Smart Lane’ iaitu tidak melebihi 60km/j dan pengguna dinasihatkan untuk terus kekal berada di dalam ‘Smart Lane’ dari mula hingga akhir, elakkan daripada keluar dan masuk untuk menjamin keselamatan dan kelancaran aliran trafik.
Begitupun, tarikh dan masa untuk setiap lokasi ‘Smart Lane’ diaktifkan adalah berbeza mengikut keperluan dan pola trafik di lokasi terbabit.
“Adalah menjadi satu kesalahan jika menyalahgunakan lorong kecemasan tanpa sebab-sebab tertentu, ia adalah laluan khas sepertimana yang kita tahu kecuali di lokasi-lokasi ‘Smart Lane’ yang diaktifkan.
“Pada masa jika ada kenderaan pihak berkuasa seperti ambulans atau polis, berilah kerjasama dan laluan kepada mereka untuk melalui ‘Smart Lane’ kerana ia juga masih lorong kecemasan untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat jika ada keperluan,” pesan Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusuf Abdul Aziz.
Makluman terkini berkenaan lokasi dan waktu aktif ‘Smart Lane’ boleh didapati daripada hebahan di laman dan akaun rasmi media sosial PLUS atau terus saja hubungi PLUSLine di talian 1-800-88-0000.
Sementara itu, untuk memastikan perjalanan pengguna lebih lancar, selamat dan selesa, PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja di laluan utama dan tiada penutupan lorong antara 1 hingga 17 April 2024, menempatkan kren dan trak tunda di lokasi terpilih bagi mempercepat proses pengalihan kenderaan yang kerosakan, larangan kenderaan berat, serta turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).
Pengguna juga boleh merancang perjalanan dengan lebih mudah dengan merujuk jadual perjalanan digital melalui MyPLUS-TTA di Aplikasi PLUS.
Sumber: Astro Awani

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen Cadang Download Aplikasi Ini Untuk Mudahkan Perjalanan Pulang Ke Kampung

ARTIKEL BERKAITAN: Beraya Di Rembau & Perlis, Fasha Sandha Ada 45 Pasang Baju Raya

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live