Pelakon Hanis Zalikha tak mahu dianggap sebagai ibu yang sentiasa berlembut dan mengalah dengan kehendak anak-anak.

Katanya dalam mendidik dua orang cahaya matanya iaitu Yusuf Iskandar, 6, dan Alisa Aisyah, 3, Hanis dan suami, Hairul Azreen akui agak tegas.

“Saya selalu terima kata-kata dari orang cakap ‘lembutnya dengan anak’. Sebenarnya bukan lembut…cuma saya tak tinggikan suara. Kami tak garang cuma tegas bila nak didik mereka.

“Jangan ingat saya ni lembut sangat dengan anak sebab sebenarnya saya memang seorang yang tegas. Jika saya kata tak boleh pada sesuatu itu, maka memang tak boleh.

“Biasanya kalau saya marah nanti kemudian Hairul akan pergi ke mereka untuk memujuknya begitulah sebaliknya,” katanya.

Hanis ditemui bersama Hairul selepas acara mengumumkannya sebagai duta kepada Innersejuk yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, semalam.

Sejak melahirkan anak sulungnya, cara didikkan Hanis dan Hairul yang dilihat di media sosial sering dipuji dan menjadi panduan buat ibu bapa lain.

Sebagai bapa, Hairul tidak mahu cara didikkan mereka dibandingkan namun terbuka untuk ibu bapa di luar untuk mengikut cara mereka sesuai dengan anak masing-masing.

“Saya tak suka nak bandingkan begitu. lagipun saya hormati setiap cara didikkan keluarga masing-masing.

“Mungkin cara ini sesuai dengan anak saya tetapi tak sesuai untuk anak orang lain. Saya pun didik anak dari pengalaman mempunyai anak buah yang ramai, cuma Hanis banyak panduan dari buku.

“Apa-apa pun perkongsian kami di media sosial lebih kepada simpanan dan memori kami sekeluarga untuk masa akan datang,” ujarnya.

Untuk rekod, Hanis mendirikan rumah tangga dengan pelakon filem Paskal itu pada Jun 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.