Penyanyi muda, Naim Daniel tampil melakukan inisiatif tersendiri apabila mewujudkan misi ‘food bank’ di kawasan Semenyih, Selangor.

Berkongsi perjalanan mengenai usaha berkenaan di Instagram Story, Naim dilihat memulakan pembelian barang keperluan sekitar tengah hari semalam.

Dengan turut mengambil kira cadangan peminatnya, Naim kemudian memborong beberapa barangan termasuklah beras, gula, lampin bayi, biskut, pencuci baju dan juga tuala wanita.

Tambah gembira, usaha tersebut turut disokong Petronas cawangan Taman Melayu Semenyih apabila membenarkan penyanyi itu meletakkan barangan berkenaan kawasan stesen minyak itu.

“Naim ada sumbangan sedikit untuk keluarga memerlukan tak kira apa bangsa dan agama.

“Jangan malu jangan segan, ambil mana perlu untuk kelangsungan hidup. Insya-Allah,” katanya menerusi satu posting terbaru di Instagram.

Posting tersebut kemudian dibanjiri komen peminat dan rakan artis yang kebanyakan memuji inisiatif pelantun lagu Purnama itu.

“Kenapa hang buat aku menangis, aku bangga orang macam ni sebab aku pernah rasa susah.

“Good job Naim, macam ni la penyanyi muda pelapis negara.”

“Contoh yang baik, well done Naim,” tulis beberapa netizen.

A post shared by Naim Daniel (@naimdanielx)