Percutian indah bagi tiga gadis dari Malaysia bertukar mimpi ngeri apabila dikejutkan dengan penemuan kamera tersorok di dalam bilik air apartment yang ditempah.

Menerusi perkongsian satu status di Facebooknya, Rubee Woo bersama tiga rakannya mengembara ke Porto, Portugal pada 20 Jun lalu dan telah menempah sebuah apartment menerusi Booking.com.



Salah seorang daripada mereka bersiap sedia untuk mandi lalu terlihat sesuatu yang aneh pada soket di dalam bilik air tersebut.

Menurut laporan media Portugal, The Renaissance, mangsa mendekati soket tersebut dan kemudiannya menghalakan lampu suluh telefon pintarnya ke arah soket terbabit.



Mereka terus menghubungi polis tempatan namun takut dicederakan oleh pemilik apartment yang tinggal di tingkat bawah apartment mereka.

“Sementara menunggu ketibaan polis, kami dengar bunyi bising di tingkat bawah dan kami takut pemilik apartment menyedari kami telah menemui kamera yang disorok”, tulis Rubee lagi.



Polis tiba 30 minit kemudian dan segera menanggalkan kamera tersebut daripada soket tersebut.

Mereka kemudiannya mengemas semua bagasi dan menyerahkan kunci apartment tersebut kepada pihak polis.

“Semasa kami beredar dari tempat tersebut, pemilik rumah tidak berani untuk bertentang mata.

"Kami pasti 200% yang kamera tersebut dipasang oleh tuan rumah terbabit," tambahnya lagi.



Mereka bertiga telah membuat laporan polis pada keesokan harinya untuk memastikan tindakan yang sewajarnya diambil pada tuan apartment terbabit.

Memetik laporan Says, semua bukti telah diserahkan kepada pihak polis Portugal dan mengharapkan pemilik apartment dikenakan hukuman.

Rubee turut menasihati orang ramai yang menempah bilik secara online agar sentiasa berhati-hati kerana apartment tersebut mendapat 9.2 markah berdasarkan maklumbalas yang positif daripada pengunjung lain.

“Jangan percaya pada rating yang diberikan biar berapa tinggi pun.

"Malah, jangan percaya pada pemilik rumah walaupun mereka sangat peramah”, tulisnya lagi.

Selepas melalui malam yang ngeri itu, pihak Booking.com telah mengantikan penginapan yang lain pada malam tersebut susulan daripada laporan yang diterima.